AM > BERITA

Jufitri Guna Chatbot AI Dekati Golongan Belia

03/02/2026 08:46 PM

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Berhasrat merapatkan jurang antara pembuat dasar dan golongan belia, Ahli Dewan Negara Dr Jufitri Joha mengambil inisiatif memperkenalkan Belia 360, sebuah platform chatbot berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang direka bagi mengumpul suara dan menyelami permasalahan golongan muda di seluruh negara.

Jufitri berkata platform Belia 360 itu akan membantu beliau membuat pemprofilan data melibatkan pelbagai isu berkaitan golongan muda dengan capaian lebih meluas.

“Sebagai seorang pembuat dasar di Dewan Negara, saya perlukan input-input amali ini. Maklumat yang diperoleh daripada mereka menerusi platform berkenaan akan membantu kami untuk cari kaedah penyelesaian terbaik terhadap sebarang isu terkait golongan belia,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan pengurusan tertinggi agensi berita itu di Wisma Bernama di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Mohd Shukri Ishak.

Jufitri berkata selain berkomunikasi menerusi Chatbot AI, inisiatif Belia 360 juga akan menyediakan elemen bimbingan kepada golongan muda, khususnya dalam aspek kesihatan mental.

Beliau berkata inisiatif Belia 360 bakal diperkenalkan secara rasmi kepada orang ramai pada minggu pertama persidangan Dewan Negara yang akan membuka tirai pada 23 Feb ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan