AM > BERITA

Anwar Puji Usaha Kerajaan Negeri Johor Naik Taraf Aset Warisan

02/02/2026 03:19 PM

JOHOR BAHRU, 2 Feb (Bernama) --  Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji usaha Kerajaan Negeri Johor atas ikhtiar berterusan dalam menaik taraf aset warisan serta memperkasakan tarikan pelancongan negeri.

Anwar berkata usaha itu sejajar dengan aspirasi Tahun Melawat Johor 2026 (TMJ2026).

“Usaha ini turut menyokong agenda nasional sempena Tahun Melawat Malaysia dalam merancakkan ekonomi setempat, di samping memelihara jati diri serta sejarah bangsa,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook.  

Ad Banner
Ad Banner

Johor menyasarkan kedatangan 12 juta pelancong tahun ini sempena TMJ2026 dengan kutipan hasil dijangka melebihi RM42 bilion kepada negeri.

Terdahulu, Anwar berkesempatan mengunjungi Muzium Diraja Abu Bakar di Istana Besar Johor. Hadir sama isteri beliau Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Muzium berkenaan menghimpunkan khazanah diraja serta warisan sejarah dan kebudayaan Kesultanan Johor yang bernilai tinggi, di samping persekitaran landskap yang terpelihara dan menarik.

Anwar tiba di Johor Bahru semalam, menaiki Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS3) bersama ahli keluarganya dan berkesempatan mengunjungi Zoo Johor.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan