AM > BERITA

RTS Link Bakal Dilengkapi 100 Laluan E-gate Di Kompleks ICQ Bukit Chagar

01/02/2026 10:24 AM

JOHOR BAHRU, 1 Feb (Bernama) -- Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura bakal dilengkapi 100 e-gate atau pagar elektronik di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Chagar bagi melancarkan proses pelepasan rentas sempadan antara kedua-dua negara.

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Mohd Zarif Hashim berkata kemudahan e-gate itu adalah komponen teras model ICQ, yang membolehkan penumpang melengkapkan pemeriksaan imigresen Malaysia dan Singapura di kemudahan yang sama. 

Beliau berkata sistem berkapasiti tinggi itu direka bagi mempermudah pergerakan penumpang serta mengurangkan kesesakan, khususnya semasa waktu puncak perjalanan.

Ad Banner
Ad Banner

“Selain 100 laluan e-gate, Kompleks ICQ Bukit Chagar juga akan dilengkapi 10 laluan pemeriksaan  badan, 18 pengimbas bagasi serta laluan khusus untuk penumpang yang tidak membawa bagasi, bertujuan meminimumkan kesesakan dan memastikan aliran penumpang yang lancar,” katanya kepada Bernama.

Mohd Zarif berkata pelaksanaan e-gate berkenaan mendapat kerjasama rapat pihak berkuasa imigresen Malaysia dan Singapura, termasuk pelepasan pasport menggunakan kod QR, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pemeriksaan manual.

Selain menjimatkan masa, beliau berkata kelebihan utama sistem itu adalah dari segi kebolehpercayaan dan keberkesanan, sekali gus membantu perancangan perjalanan pengguna dengan lebih teratur.

Mohd Zarif berkata pada peringkat awal operasi RTS Link diunjurkan membawa 40,000 penumpang sehari, dan dijangka meningkat kepada kira-kira 140,000 penumpang sehari, sekali gus bakal  menyumbang 30 hingga 40 peratus pergerakan di Tambak Johor apabila perkhidmatan berkenaan beroperasi sepenuhnya. 

Kemudahan itu antara ciri utama yang menyokong objektif RTS Link untuk beroperasi sebagai pintu masuk antarabangsa bertaraf dunia, sekali gus memperkukuh peranan pengangkutan awam sebagai mod perjalanan rentas sempadan yang dipercayai dan menjadi pilihan, apabila sistem itu mula beroperasi selepas pembinaan siap pada 31 Dis 2026.

Beliau berkata MRT Corp juga telah menubuhkan Pusat Maklumat Projek di pejabat RTS Link, yang menampilkan kiosk interaktif mempamerkan maklumat utama projek serta lawatan maya jajaran RTS, bagi membantu pengunjung memahami bagaimana sistem itu berfungsi secara bersepadu.

“Dalam menyediakan rangka kerja untuk pengalaman pelanggan, MRT Corp mengambil iktibar daripada pintu masuk sedia ada seperti KLIA serta penanda aras pendekatan adalah berdasarkan piawaian antarabangsa, termasuk Lapangan Terbang Changi,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan