AM > BERITA

16 Pegawai Polis Berlepas Ke Sudan Selatan Sertai Misi Pengaman PBB

31/01/2026 08:35 PM

SEPANG, 31 Jan (Bernama) -- Sebanyak 16 Pegawai Kanan Polis dan Pegawai Rendah Polis akan berlepas ke Sudan Selatan malam ini, bagi menyertai misi pengaman di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang turut dikenali sebagai Misi Pengaman PBB di Sudan Selatan (UNMISS) selama setahun.

Delegasi yang disertai 10 pegawai kanan dan enam pegawai rendah itu dipimpin Ketua Kontinjen Kumpulan DSP Chan Yew Hiok dan dibantu Timbalan Ketua Kontinjen DSP Ahmad Suhaili Abu Bakar.

Timbalan Pengarah Pengurusan Bukit Aman (Pentadbiran) Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata kesemua 16 anggota itu akan bertugas selama setahun di Sudan Selatan.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata pemilihan anggota untuk menyertai UNMISS adalah kepercayaan antarabangsa terhadap keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai sebuah pasukan keselamatan yang berwibawa, berintegriti dan berdisiplin.

“Sesungguhnya penugasan ini bukan sekadar satu tugasan operasi di luar negara tetapi adalah misi diplomasi keselamatan, misi kemanusiaan dan misi keamanan sejagat,” katanya pada Majlis Atur Gerak UNMISS di sini hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata anggota yang menyertai UNMISS akan berperanan sebagai Pegawai Polis Individu (IPO), yang tidak hanya bertugas untuk menjaga keselamatan awam tetapi berfungsi sebagai penasihat, mentor dan pemudah cara kepada Perkhidmatan Polis Kebangsaan Sudan Selatan dalam usaha membina semula institusi kepolisan yang profesional, berintegriti dan dihormati rakyat.

Beliau berkata di negara yang sedang berdepan dengan pascakonflik, kepolisan tidak boleh berteraskan kekerasan semata-mata, sebaliknya mesti berpaksikan kepada kepercayaan, legitimasi dan keadilan.

“Justeru, anda (peserta misi) memainkan peranan penting dalam membantu reformasi institusi kepolisan, memperkasakan penguatkuasaan undang-undang berasaskan hak asasi manusia dan memperkukuh perlindungan orang awam, khususnya golongan rentan seperti wanita, kanak-kanak dan komuniti terpinggir.

“Inilah nilai sebenar misi pengaman yang bukan sekadar mengekang konflik tetapi membina asas keamanan yang mampan untuk generasi masa hadapan,” katanya.

Ahmad Dzaffir turut mengingatkan anggota misi supaya menjaga diri, nama baik PDRM dan negara serta sentiasa berdisiplin dan berintegriti semasa menjalankan tugas. 

Delegasi itu terdiri daripada ASP Abdul Hakim Hussein, ASP Tina Manchu, ASP Zaitul-Najahah Abd Patah, ASP Zarina Yahya, Insp Muhamad Amirul Asraf Mohd Sharif, Insp Ahmad Zulhilmi Kamarudin, Insp M. Maheswaran, Insp D. Marzammutu, Sub Insp Putri Leila Raha Azil, Sjn Mejar (SM) Collin Maxwell, SM Abdul Rahman Mohd Mustaffa, Sjn Md Zulaizi Md Usof, Sjn Lee Chong Seng dan Sjn Stephen Lachamanaidu.

Sementara itu, Chan yang pertama kali menyertai misi pengaman di luar negara berkata beliau akan berusaha membantu dan menyantuni wanita yang terjejas akibat konflik di negara itu.

“Saya mempunyai pengalaman dalam menjaga wanita, terutama dalam kes seksual. Jadi, saya rasa saya akan menggunakan pengalaman itu untuk membantu mereka melakukan yang terbaik.

“Motivasi saya untuk menyertai misi ini adalah membuktikan wanita boleh ke depan untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan lebih bangga terutamanya membantu wanita dan kanak-kanak,” katanya.

Tina, yang bertugas di Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak berkata matlamatnya pada misi itu adalah untuk membantu membangunkan negara itu dari segi penguatkuasaan undang-undang serta berkongsi nikmat keamanan negara kepada penduduk.

“Saya percaya apa yang kita ada di Malaysia, apa yang kita ada di sini, keamanan yang kita rasa di Malaysia ini, ia harus dikongsi dengan negara lain,” katanya.

Penglibatan PDRM secara aktif dalam misi pengaman PBB bertitik tolak daripada penghantaran 14 warga PDRM ke Misi Angola sejak 1991 seterusnya Misi Darfur (2008) dan UNMISS (2011) tertakluk atas permintaan PBB.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan