AM > BERITA

Hampir 5,000 Pokok Nanas Terjejas Akibat Kebakaran Tanah Gambut Di Muar

30/01/2026 01:15 PM

MUAR, 30 Jan (Bernama) -- Kebakaran tanah gambut melibatkan kebun nanas di Kampung Parit Hj Abd Aziz, Sungai Balang Besar di sini menyebabkan seorang pekebun kerugian kira-kira RM10,000 selepas hampir 5,000 pokok tanaman itu terjejas.

Abd Malik Kadri, 60, berkata kejadian itu kali pertama berlaku sejak dia mengusahakan tanaman kontan di kawasan tanah gambut berkenaan kira-kira lima tahun lepas, yang sebelum ini ditanam dengan kelapa sawit.

Kebakaran itu, katanya disedari pada pagi Selasa melibatkan tanaman nanas jenis Morris dan Josapine sebelum dia cuba memadamkan api sendiri, namun gagal lalu menghubungi pihak bomba.

Ad Banner
Ad Banner

“Pada Selasa, sepasukan bomba dari Batu Pahat datang memadam kebakaran, namun semalam kebun seluas kira-kira 1.01 hektar ini kembali berasap dan terbakar semula. 

“Mungkin disebabkan tanah gambut yang mampu menyimpan bara api, ditambah cuaca panas dan berangin, menyebabkan kebun saya terbakar semula,” katanya kepada Bernama. 

Abd Malik berkata dia sempat memetik sebahagian hasil beberapa hari sebelum kebakaran berlaku, namun tanaman baharu dilihat mula layu dan berkemungkinan sukar untuk terus hidup serta mengeluarkan hasil.

Sementara itu, pekebun berhampiran, Mohammad Musa Jamil, 61, berkata ladang miliknya turut terjejas apabila 15 pokok kelapa sawit terbakar dan dia kini mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak kebakaran merebak.

“Saya akan elakkan pembakaran terbuka pada musim panas, terutama ketika melupuskan pelepah kelapa sawit dan akan segera menghubungi bomba jika berlaku kebakaran kerana api di tanah gambut sukar dipadamkan,” katanya.

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar berusaha memadam kebakaran seawal 8 pagi, namun operasi berdepan kesukaran mendapatkan sumber air berikutan parit berhampiran kering.

Kejadian itu berlaku ketika negara berdepan peningkatan risiko kebakaran terbuka, dengan kira-kira hampir 3,000 kes kebakaran direkodkan di seluruh negara bulan ini. 

Malah, pihak bomba sebelum ini mengenal pasti ratusan kawasan titik panas kebakaran terbuka di seluruh negara termasuk Johor, yang dikaitkan dengan cuaca panas, kekurangan sumber air serta faktor tanah seperti gambut yang mudah menyimpan haba dan bara api. 

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap risiko kebakaran serta tidak melakukan pembakaran terbuka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan