AM > BERITA

Kes e-Waste: Empat Termasuk KP, TKP Alam Sekitar Direman

30/01/2026 12:33 PM

PUTRAJAYA, 30 Jan (Bernama) -- Ketua Pengarah, Timbalan Ketua Pengarah Alam Sekitar dan seorang Penolong Pegawai Kawalan Alam Sekitar direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes berkaitan pengurusan sisa buangan elekrik dan elektronik (e-waste).

Seorang lagi orang awam turut direman tiga hari hingga Ahad berhubung siasatan sama.

Perintah reman dikeluarkan Majistret  Ezrene Zakariah selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Ad Banner
Ad Banner

Terdahulu, keempat-empat individu yang lengkap berpakaian lokap warna jingga dan bergari itu tiba di pekarangan mahkamah kira-kira 9.30 pagi diiringi pegawai SPRM.

Media melaporkan kedua-dua pegawai kanan itu ditahan kira-kira 6.30 petang semalam selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Difahamkan, siasatan SPRM kini menumpukan kepada dakwaan salah guna kuasa dan rasuah berkaitan pengurusan e-waste yang dipercayai berlaku dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki yang mengesahkan penahanan itu semalam  memaklumkan siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh dan profesional mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Beliau berkata SPRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam perbuatan rasuah, tanpa mengira kedudukan atau jawatan.

Kes disiasat di bawah peruntukan Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan