AM > BERITA

Hari Keselamatan Internet 2026 Perkasa Pengetahuan Keselamatan Siber

30/01/2026 11:28 AM

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Sambutan Hari Keselamatan Internet 2026 pada 8 Feb ini akan menumpukan kepada usaha memperkukuh peranan ibu bapa dalam mengawal penggunaan Internet anak-anak selain meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap ancaman jenayah siber. 

Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Bukhari Yahya berkata acara komuniti berskala besar di Tasik Titiwangsa, di sini akan diisi dengan pelbagai program pendidikan keselamatan digital bagi membantu orang ramai memahami kaedah melindungi diri serta keluarga ketika berada dalam talian.

Beliau berkata sambutan kali ini berbeza berbanding program sebelum ini kerana MCMC akan membawa pasukan teknikal dan pakar bagi membantu pengunjung secara langsung untuk menetapkan ciri keselamatan pada peranti masing-masing termasuk penggunaan aplikasi kawalan ibu bapa.

Ad Banner
Ad Banner

“Kalau kita lihat program yang dibuat sebelum ini, (hanya) dengar taklimat, tetapi kali ini agak berbeza. Kita akan sediakan pasukan teknikal yang akan membantu pengunjung bagaimana untuk dia tetapkan ciri keselamatan telefon (misalnya) kawalan ibu bapa dan sebagainya.

“Kita juga ada penyedia platform seperti TikTok, Google, Facebook. Kadang-kadang, bila kita (ibu bapa) buka Facebook, ada aplikasi berkaitan dengan penetapan kawalan ibu bapa, tetapi tidak tahu bagaimana hendak buat. Jadi, pendidikan secara terus ini disediakan pada hari tersebut,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara - Hari Keselamatan Internet 2026: Internet Selamat, Tanggungjawab Bersama terbitan Bernama TV di sini malam tadi. 

Bukhari berkata pelbagai agensi dan rakan strategik termasuk Polis Diraja Malaysia serta Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) turut membuka reruai bagi memberi pendedahan mengenai isu semasa jenayah siber termasuk kaedah penipuan terkini serta langkah yang perlu diambil sekiranya menjadi mangsa.

Beliau berkata melalui pendedahan berkenaan, orang ramai dapat mempelajari cara mengenal pasti tawaran mencurigakan, kaedah menyemak kesahihan maklumat serta saluran yang boleh dirujuk bagi membuat laporan sekiranya berlaku penipuan.

Selain itu, Bukhari berkata program itu juga bakal menyaksikan pelancaran rasmi Kempen Internet Selamat 2026 yang kali ini diperluas kepada komuniti serta golongan belia, berbeza dengan pendekatan tahun sebelumnya yang memberi tumpuan kepada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.

“Kempen ataupun program keselamatan Internet, kita telah memulakan saban tahun. Pada tahun lepas, fokus lebih kepada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi tetapi tahun ini, kita akan luaskan lagi kempen merangkumi komuniti dan belia,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan