AM > BERITA

UPSI Capai Kedudukan 101-125 Dunia Bidang Pendidikan

30/01/2026 10:22 AM

IPOH, 30 Jan (Bernama) -- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mencipta kejayaan di pentas dunia apabila berjaya disenaraikan di kedudukan 101-125 dalam penarafan “World University Rankings 2026: Education Studies”.

Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff dalam kenyataan berkata berbanding sebelum ini di kedudukan 126 hingga 150, pencapaian terkini itu semakin mengukuhkan kedudukan UPSI sebagai universiti pendidikan terkemuka di Malaysia dan dunia.

“Pencapaian ini juga satu pengiktirafan kepada bidang pendidikan kita di peringkat antarabangsa. Seluruh warga UPSI sudah bekerja keras demi meningkatkan kualiti penyelidikan mencapai tahap berimpak tinggi, jaringan industri, serta kolaborasi antarabangsa,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata kejayaan itu juga hasil penerapan konsep BITARA (Bijak Tanpa Tara) iaitu Bakat Unggul (B), Inovasi dan Penyelidikan (I), Transformasi Teknologi (T), Adab, Akhlak, Akademik (A), Revolusi Ekosistem (R) dan Adaptasi Global (A), bagi menjulang nama serta maruah UPSI.

Md Amin berkata pencapaian itu selaras fokus utama dalam bidang pendidikan, menjadikan UPSI melonjak sebagai institusi pengajian tinggi yang melahirkan pendidik berkualiti tinggi untuk berkhidmat di seluruh negara.

“Pencapaian dan kejayaan ini juga selaras dengan seruan Menteri Pendidikan Tinggi (Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir) untuk mengangkat nama negara dalam pendidikan tinggi Malaysia menjelang 2030,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan