KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) menjalin kerjasama strategik untuk memperkukuh pelaksanaan agenda kerajaan dalam membanteras amalan antipersaingan khususnya kartel atau pakatan tipuan bida.
Komitmen itu diterjemahkan melalui pemeteraian Surat Persefahaman (LoU) antara MyCC, iaitu agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), bersama JWP di bawah Jabatan Perdana Menteri.
LoU yang ditandatangani Ketua Pengarah JWP Datuk Seri Noridah Abdul Rahim dan Pengerusi MyCC Tan Sri ldrus Harun disaksikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh di sini hari ini.
Hannah berkata LoU berkenaan merangkumi kerjasama strategik kedua-dua agensi dalam beberapa skop utama antaranya penyediaan khidmat nasihat dan laporan penilaian awal berhubung unsur tipuan bida dalam perolehan dan pelaksanaan latihan secara berkala kepada pegawai perolehan.
"Kerjasama ini melibatkan enam agensi JWP iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Perbadanan Putrajaya, Perbadanan Labuan, Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu dan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan," katanya pada sidang media selepas majlis itu.
Beliau berkata JWP memberikan penekanan serius terhadap isu kartel tipuan bida dalam perolehan kerajaan dan komited untuk menyalurkan maklumat serta membuat laporan kepada MyCC sekiranya terdapat sebarang petunjuk atau perlakuan yang menjurus kepada amalan antipersaingan.
Sementara itu, Armizan berkata MyCC sedang menyiasat lebih 500 perusahaan termasuk dalam konteks tipuan bida.
"Sejak penubuhan MyCC dari 2022 sehingga 2025, ada empat keputusan akhir tindakan diambil termasuklah tahun lepas yang melibatkan Jabatan Wilayah Persekutuan iaitu satu tender di Perbadanan Putrajaya," katanya.
Armizan berkata beliau yakin unit khas yang ditubuhkan bagi membanteras tipuan bida dan peruntukan RM5 juta pada tahun ini dapat meningkatkan ketangkasan dalam usaha membanteras kewujudan kartel dan mengekang amalan tipuan bida yang menjejaskan kecekapan perbelanjaan awam.
Beliau berkata sejak digerakkan bermula September lepas, empat LoU dimeterai MyCC iaitu bersama Kementerian Kewangan; Kementerian Kesihatan; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial