AM > BERITA

Selangor Bakal Suaikan Dasar Kemasukan Murid Tahun Satu Usia Enam Tahun Sekolah Agama

29/01/2026 02:59 PM

‎SHAH ALAM, 29 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor sedang merangka langkah adaptasi bagi sekolah-sekolah di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) susulan pengumuman pelaksanaan kemasukan murid ke tahun satu seawal usia enam tahun bermula tahun hadapan. 

‎Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata JAIS kini sedang dalam fasa menyediakan kerangka berkaitan bagi memastikan pelaksanaan dasar itu dapat dijalankan secara baik di peringkat negeri, khususnya sekolah-sekolah agama di bawah kelolaan jabatan berkenaan. 

“Bahagian pendidikan JAIS akan mengemukakan kertas itu, insya-Allah saya percaya kami akan ada hala tuju yang lebih jelas. Lagipun ketika Ramadan nanti saya akan adakan pemukiman dengan keseluruhan jentera pendidikan negeri.

Ad Banner
Ad Banner

“Ini akan melibatkan JAIS, ‎pihak jabatan pendidikan negeri, universiti dan sebagainya sebab kami nak tengok bagaimana setiap entiti ini mempunyai saling hubung yang baik dan ‎bermanfaat kepada setiap entiti dan unit tertentu,” katanya. 

‎Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian dan Penzahiran Laporan Voluntary Local Review (VLR) Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Shah Alam siri ke-2 di sini hari ini. 

‎Sementara itu, Amirudin yang juga Exco Pendidikan berkata beliau telah mengadakan perjumpaan dengan Jabatan Pendidikan Negeri untuk mendapatkan maklumat terperinci bagi pelaksanaan dasar itu di peringkat Selangor. 

“Sudah pasti sekolah kebangsaan, saya pun dengan jabatan pendidikan ‎tadi ada kesan-kesannya tapi kami cuba sesuaikan sebab kesesuaian itu akan dirujuk kepada ‎tempoh waktu belajar ataupun kami boleh buat dua sesi dan sebagainya, yang lebih kritikal ‎adalah berkenaan dengan tenaga pengajar,” katanya. 

‎-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan