AM > BERITA

Ambil Serius Isu Integriti Demi Keyakinan, Pembangunan Negara - TPM Fadillah 

29/01/2026 02:17 PM

SEPANG, 29 Jan (Bernama) -- Semua pihak perlu mengambil serius peringatan berkaitan integriti dan bersama-sama memastikan negara kekal bersih kerana ia menjadi asas kepada keyakinan, penghormatan serta kejayaan pembangunan ekonomi negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata integriti bukan sekadar isu pentadbiran, sebaliknya faktor penentu sama ada perancangan pembangunan negara dan projek untuk rakyat dapat dilaksanakan dengan berkesan.

"Kita kena ambil serius terhadap peringatan ini dan semua pihak kena terlibat bersama-sama memastikan negara kita bersih.

Ad Banner
Ad Banner

"Apabila negara bersih, orang akan datang, menghormati kita, barulah pembangunan ekonomi dapat berkembang dan yang lebih penting, apa saja rencana pembangunan negara serta projek-projek untuk rakyat akan sampai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas amaran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan tidak lagi boleh bertolak-ansur dengan kelemahan penguatkuasaan dan tadbir urus yang tidak ditangani dengan serius.

Anwar dilapor berkata demikian pada majlis amanat bersama ketua-ketua jabatan, agensi penguatkuasaan yang berhubungan dengan jenayah kewangan anjuran Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), semalam.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata tatakelola dan integriti bukan agenda baharu kerajaan, sebaliknya telah lama menjadi teras dalam usaha transformasi pentadbiran negara di bawah Kerajaan MADANI.

Beliau berkata walaupun terdapat kes-kes salah laku berskala kecil, ia tidak mencerminkan keseluruhan perkhidmatan awam yang secara umumnya kekal berintegriti dan komited dalam melaksanakan tanggungjawab.

"Majoriti berpegang kepada integriti dan komited dalam bekerja. Tetapi, walaupun orang kata perkara kecil, kita kena ambil serius supaya janganlah kerana nila setitik, rosak susu sebelanga," katanya.

Ditanya langkah pemantauan projek di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Fadillah berkata mekanisme audit dalaman sedia ada terus diperkukuh bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar tanpa kelewatan.

"Kita memang dah ada kaedah itu. Sebab itu audit dalaman perlu memainkan peranan. Banyak agensi dan bahagian kita menerima penarafan audit lima bintang, yang menunjukkan tanggungjawab dilaksanakan dengan baik," katanya.

Beliau berkata langkah penambahbaikan turut diperkasakan menerusi semakan menyeluruh laporan audit yang diketuai Timbalan Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, melibatkan semua jabatan dan bahagian.

Beliau berkata semua pihak terlibat bersama untuk melihat bagaimana boleh menambah baik tatacara dan pelaksanaan supaya lebih berkesan.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan