AM > BERITA

YADIM Cadang Bina Rumah Baharu Keluarga Mangsa Kebakaran Maut Di Jalan Tok Guru

28/01/2026 06:11 PM

KOTA BHARU, 28 Jan (Bernama) -- Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) akan mengemukakan cadangan pembinaan rumah baharu kepada mangsa kebakaran Norhaeda Azahari, 51, susulan kejadian yang meragut nyawa ibu angkatnya berusia 89 tahun dan hampir 70 ekor kucing peliharaan di Jalan Tok Guru di sini pada Ahad lepas.

Pengarah YADIM Kelantan Yusnita Muhamed Yusoff berkata cadangan itu akan dikemukakan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam masa terdekat bagi membantu mangsa yang kini menumpang di rumah adik-beradiknya.

Beliau berkata YADIM juga akan mengadakan perbincangan bersama Yayasan Taqwa dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia bagi meneliti bentuk bantuan yang sesuai, sama ada melalui program MyHouse atau inisiatif lain.

Ad Banner
Ad Banner

“Kami berharap bantuan ini dapat meringankan beban mangsa yang terkesan akibat kebakaran itu,” katanya ketika melawat tapak rumah Norhaeda hari ini.

Sementara itu, Norhaeda berkata buat masa ini beliau menumpang di rumah adik lelakinya di Guchil Baru, Kuala Krai dan masih trauma dengan kejadian yang bukan sahaja meragut nyawa ibu angkatnya, malah memusnahkan harta benda serta hampir kesemua kucing peliharaan, dengan hanya empat ekor terselamat.

Pada Ahad lepas, Bernama melaporkan seorang warga emas Fatimah Mat Said ditemukan rentung selepas kediamannya di Jalan Tok Guru di sini musnah terbakar.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan