AM > BERITA

MBS Disaran Kaji Semula Waktu Operasi Bazar Aidilfitri Di Senawang - Aminuddin

28/01/2026 05:59 PM

SEREMBAN, 28 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan menyarankan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) mengkaji semula waktu operasi Bazar Aidilfitri Dataran Senawang bagi memastikan keselesaan semua pihak serta memberi ruang kepada orang ramai menunaikan ibadah sepanjang Ramadan.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata waktu operasi yang ditetapkan bermula 6 petang hingga 12 tengah malam didapati tidak sesuai dan wajar diteliti semula demi kepentingan peniaga serta pengunjung yang lazimnya hadir ke bazar selepas menunaikan solat Tarawih.

“Kerajaan negeri berpandangan waktu operasi ini wajar dikaji semula supaya selepas berbuka puasa, orang ramai dapat menunaikan solat maghrib, isyak dan tarawih terlebih dahulu sebelum mereka keluar semula untuk berniaga atau berkunjung ke bazar.

Ad Banner
Ad Banner

"Walaupun solat sunat tarawih tidak diwajibkan, kerajaan negeri menggalakkan pelaksanaannya secara berjemaah memandangkan ibadah itu hanya dilakukan sekali setahun sepanjang Ramadan. Biarlah kita mengutamakan ibadah terlebih dahulu sebelum melakukan aktiviti lain,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini hari ini.

Aminuddin berkata kehadiran pengunjung ke bazar di Dataran Senawang bukan sahaja melibatkan penduduk setempat, malah turut menarik pengunjung dari daerah lain termasuk dari negeri jiran.

Terdahulu, tular di media sosial berhubung rungutan peniaga yang tidak berpuas hati dengan waktu operasi bazar yang ditetapkan MBS bermula 6 petang hingga 12 tengah malam, selain tindakan penganjur mengenakan caj denda sehingga RM350 sejam sekiranya peniaga berniaga melebihi tempoh yang ditetapkan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Sikamat itu turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga yang kehilangan anak mereka selepas mangsa maut akibat tertinggal di dalam kereta, semalam.

"Saya berharap kejadian seperti ini tidak berulang. Ia bukan disengajakan dan kita berdoa supaya semua pihak sentiasa berhati-hati serta menjadikan peristiwa ini sebagai pengajaran," katanya.

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan