AM > BERITA

MINDEF Perkukuh Tatacara Dan Tatakelola, Tutup Ruang Rasuah, Salah Guna Kuasa

28/01/2026 02:01 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan menyemak serta menyusun semula segala prosedur dan proses perolehan dalam sistemnya, sebagai satu daripada lima kerangka utama pembaharuan tatacara dan tatakelola kementerian itu.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata MINDEF juga akan menubuhkan Lembaga Pengukuhan Keutuhan dan Amanah yang berperanan memandu kementerian itu dalam semua urusan berkaitan penambahbaikan integriti dan pelaksanaan amanah.

Beliau berkata kementerian akan memastikan pelaksanaan digitalisasi bagi memastikan teknologi menjadi pemangkin untuk ketelusan dan keutuhan segala proses dan projek yang melibatkan dana kerajaan.

Ad Banner
Ad Banner

“Selain itu, penggunaan kecerdasan buatan (AI) akan dioptimumkan untuk memudahkan analisis dan jangkaan dalam proses perolehan, termasuklah perbandingan kos, spesifikasi dan kecekapan perolehan dengan negara-negara lain. Ia juga dapat mengenal pasti kompetensi pegawai yang sedang berkhidmat.

“Kementerian juga akan melaksanakan kerangka ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) dalam tatakelola kementerian dan ATM (Angkatan Tentera Malaysia) bagi memastikan jurang tadbir urus dapat dipertingkatkan selaras dengan agenda kelestarian,” katanya pada Sesi Penerangan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamed Khaled berkata kesemua langkah itu diambil bagi menutup sebaik mungkin segala ruang perbuatan rasuah mahupun salah guna kuasa, meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan memudahkan pengesanan risiko.

Beliau berkata ia juga bagi memastikan MINDEF mempunyai sistem operasi yang unggul, dipacu teknologi termaju serta diolah dalam kerangka kelestarian dan kemapanan.

“Insya-Allah, ia tidak akan terhenti di situ sahaja. MINDEF akan terus meneroka lebih banyak ikhtiar dan peluang yang akan terus memantapkan kewibawaan kementerian ini dan ATM,” katanya.

Mohamed Khaled turut memberi jaminan bahawa kementerian itu tidak sesekali melindungi mana-mana pihak yang terpalit dengan sebarang kes rasuah atau salah guna kuasa, dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan siasatan bebas dan telus.

Beliau berkata usaha untuk mengembalikan wibawa serta kepercayaan bangsa dan negara terhadap ATM menjadi keutamaan terpenting Kerajaan MADANI ketika ini.

“Inilah tanggungjawab besar Kementerian Pertahanan untuk memulihkan integriti, mengembalikan kepercayaan dan memastikan pertahanan negara kekal kukuh, bersih dan dihormati,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata bagi kes-kes yang melibatkan kegiatan tidak bermoral seperti budaya hedonisme dan salah laku pentadbiran, mahkamah ATM akan mengadili mereka yang terlibat.

Pada sesi sama, beliau turut mengulangi jaminan dan keyakinan bahawa sistem pertahanan negara tetap utuh dan berfungsi dengan sebaiknya biarpun ATM ketika ini terpalit dengan beberapa kes rasuah dan salah guna kuasa.

”Tiada gangguan terhadap operasi pertahanan negara, kesiapsiagaan sistem pertahanan kita adalah pada tahap terbaik, manakala segala proses perolehan yang tertangguh akan kita selaraskan dengan Kementerian Kewangan agar operasi ATM tidak terjejas,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan bekas Panglima Tentera Darat Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan isterinya Salwani Anuar didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur pada Khamis lepas, dengan empat pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram.

Bekas Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Mohd Nizam Jaafar juga didakwa di mahkamah sama pada keesokannya, membabitkan dua pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, susulan siasatan salah guna kuasa dan siasatan melibatkan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan