AM > BERITA

Projek Jalan Pintasan Semenyih: Tanah Rizab Melayu Akan Diganti - PM Anwar

27/01/2026 06:20 PM

SEMENYIH, 27 Jan (Bernama) -- Tanah rizab Melayu yang terlibat dalam Projek Jalan Pintasan Semenyih, termasuk pembinaan Tapak Perkuburan Awam Persekutuan (Islam) di Hulu Langat, Selangor akan ganti semula di kawasan lain.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari turut memberi jaminan akan menyelesaikan isu berkenaan.

“Saya pun dengar sendiri…soal termasuk status tanah rizab Melayu saya tidak bertolak ansur. Kalau kita terpaksa ambil kerana pembangunan jalan, kita akan ganti.

Ad Banner
Ad Banner

“Ini jaminan daripada Menteri Besar (Amirudin). Kemudian, projek yang lain kita uruskan sebaik mungkin,” katanya dalam ucapan perasmian pada Majlis Peluncuran Pembangunan Prasarana Awam Semenyih di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Amirudin.

Anwar berkata projek pembinaan Jalan Pintasan Semenyih sepanjang 4.3 kilometer yang menghubungkan Jalan Sungai Lalang dan Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (Lebuhraya SILK) akan dilaksanakan secara penswastaan.

Beliau berkata projek itu turut merangkumi pembinaan tapak perkuburan Islam baharu yang akan diserahkan sepenuhnya kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk diselenggara.

Perdana Menteri berkata tapak perkuburan baharu itu akan menyediakan kira-kira 100,000 lot bagi menampung keperluan jangka panjang, memandangkan kapasiti sedia ada di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah dekat Kuala Lumpur dianggarkan hanya mampu bertahan sehingga empat tahun lagi.

“Jumlah keperluan tanah perkuburan di Wilayah Persekutuan itu menuntut kita menyegerakan dan memberikan kemudahan yang secukupnya mengikut unjuran jumlah kematian pada lima tahun akan datang yang lebih daripada 3,000 orang setahun,” katanya.

Beliau berkata kos pembangunan projek berkenaan adalah tinggi kerana melibatkan penyelesaian pelbagai isu termasuk penggantian kawasan perkuburan dan pengambilan tanah, namun ia perlu dilaksanakan demi kepentingan rakyat tempatan.

Projek Jalan Pintasan Semenyih adalah hasil kerjasama strategik antara KHK Land dan Kerajaan Persekutuan, melibatkan empat lorong yang bakal menghubungkan Semenyih ke Lebuhraya SILK serta enam lebuh raya utama, termasuk Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) dan Lebuhraya Cheras-Kajang (CKE).

Inisiatif itu bukan sahaja mampu merungkai masalah kesesakan setempat, malah memendekkan masa perjalanan ke Kuala Lumpur daripada 45 minit kepada hanya 20 minit.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan