AM > BERITA

Operasi Pembersihan Tumpahan Arang Batu Di Pantai Teluk Kalong Bermula

27/01/2026 06:00 PM

CHUKAI, 27 Jan (Bernama) -- Operasi pembersihan Pantai Teluk Kalong dekat sini yang tercemar dengan tumpahan 7,000 tan metrik arang batu daripada sebuah tongkang yang hanyut dan pecah, mula dijalankan semalam.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu Hamzah Mohamad berkata wakil syarikat tongkang terlibat telah melantik kontraktor bagi melakukan kerja-kerja pembersihan melibatkan kawasan sejauh 1.2 kilometer.

Beliau berkata kerja-kerja membersih pantai berkenaan dijangka mengambil masa memandangkan sebahagian arang batu itu berada di dasar laut.

Ad Banner
Ad Banner

"Pegawai JAS akan melakukan pemantauan bagi memastikan pantai peranginan itu kembali bersih," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Hamzah berkata pada masa ini arang batu berkenaan dikumpul terlebih dahulu sebelum dibuang di kawasan lain.

"Pengunjung juga tidak perlu bimbang kesan terhadap alam sekitar ketika operasi berkenaan kerana arang batu tersebut bukan bahan buangan berjadual," katanya.

Sementara itu, tinjauan media hari ini mendapati sebuah jentera pengorek digunakan untuk membersihkan arang batu di sepanjang pantai berkenaan.

Pada masa sama, sebanyak 14 pekerja melakukan kerja-kerja pembersihan secara manual dengan menggunakan penyodok sebelum arang batu itu diisi ke dalam guni.

Sebelum ini, media melaporkan JAS Terengganu menerima laporan berhubung pantai yang dicemari arang batu itu pada 11 Jan lepas.

Difahamkan tongkang yang membawa bahan bakar itu dalam perjalanan dari Indonesia ke Vietnam, namun terkandas di pantai berkenaan akibat tiupan angin yang kuat. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan