AM > BERITA

Malaysia Perlu Bangunkan Sistem Ranking Universiti Nasional Untuk Capai Visi RPTM 2026-2035 - Ahli Akademik

27/01/2026 04:01 PM

Oleh Samantha Tan Chiew Tieng

PUTRAJAYA, 27 Jan (Bernama) -- Matlamat Malaysia untuk mencorak semula landskap pendidikan tinggi di bawah Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 dikhuatiri gagal jika negara terus bergantung pada penarafan universiti global yang tidak selari dengan keutamaan teras pelan tindakan itu, menurut ahli akademik.

Pensyarah Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Dr Zainal Abidin Sanusi berkata Malaysia masih dinilai oleh sistem penarafan global yang memberikan insentif kepada tingkah laku yang ingin dielakkan oleh RPTM.

Ad Banner
Ad Banner

"RPTM 2026-2035 meletakkan kemanusiaan dan kelestarian sebagai pusat pada reformasi pendidikan tinggi. Masalahnya mudah...ekosistem pengukuran semasa Malaysia tidak memberikan ganjaran yang cukup kuat kepada hasil ini.

"Apabila universiti dinilai terutamanya oleh penunjuk tradisional seperti ranking, jumlah penerbitan, petikan dan metrik kebolehpasaran yang sempit, pembaharuan yang berpaksikan kemanusiaan dan kelestarian akan kekal sebagai 'sesuatu yang seronok untuk dimiliki' dan bukan 'mesti dilaksanakan," katanya kepada Bernama.

Zainal Abidin berkata suatu ranking baharu dan penilaian yang sejajar dengan falsafah RPTM kini amat diperlukan.

"Bergantung pada penarafan global luaran tidak akan mendatangkan hasil, kerana kebanyakannya tidak mengukur apa yang RPTM cuba janakan iaitu kepimpinan beretika, nilai awam, impak komuniti, kesaksamaan, kesejahteraan dan prestasi kemampanan sebenar. Jika sistem itu terus mengejar penunjuk di luar agenda RPTM, sudah pasti institusi akan kembali kepada apa yang dinilaikan dan bukan apa yang dijanjikan," katanya.

Beliau mencadangkan pembangunan rangka kerja ranking dan prestasi tempatan buatan Malaysia yang memberikan penekanan lebih kuat pada kepimpinan beretika, akses saksama, kesejahteraan masyarakat dan kelestarian iaitu bidang  yang secara amnya jarang diukur oleh badan antarabangsa.

Katanya instrumen sedia ada seperti Sistem Penarafan Bersepadu Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (SETARA) dan Penilaian Penyelidikan Malaysia Research (MyRA) boleh diperbaik atau digantikan terus, bagi memastikan hasil kemanusiaan dan kelestarian terikat secara langsung pada keputusan pendanaan, akauntabiliti kepimpinan dan laporan prestasi institusi.

Mewujudkan ekosistem penarafan negara, katanya, bukanlah penolakan terhadap piawaian global tetapi usaha untuk memastikan Malaysia mengukur apa yang menjadi matlamatnya.

"Tanpa perubahan sedemikian, agenda RPTM mungkin kekal sebagai aspirasi di atas kertas, dibayangi oleh metrik global yang memberikan ganjaran kepada keutamaan yang sangat berbeza," katanya

Sementara itu, Prof Madya Dr Mohd Mursyid Arshad daripada Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan, Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata kejayaan pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 bergantung pada keselarasan jelas antara falsafah, kurikulum, pedagogi dan pentaksiran.

"RPM menandakan peralihan penting kepada sistem pendidikan yang lebih berpusatkan pembangunan insan, kompetensi dan kesejahteraan murid. Dalam landskap dunia yang semakin kompleks, pendidikan perlu melahirkan generasi yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi berdaya tahan, yakin dan mampu mengemudi kehidupan dengan bermakna.

"Namun, tanpa penyelarasan yang konsisten antara falsafah dasar, kurikulum, pedagogi dan pentaksiran, aspirasi pemerkasaan melalui RPM mungkin tidak tercapai sepenuhnya di peringkat pelaksanaan," katanya.

Mengulas cadangan kemasukan murid berumur enam tahun ke Tahun Satu, Mohd Mursyid menegaskan bahawa pendekatan yang bersifat perkembangan dan tidak menekan adalah penting bagi memastikan transisi awal persekolahan yang positif.

"Pengalaman awal persekolahan membentuk sikap jangka panjang terhadap pembelajaran dan keyakinan diri. Kebimbangan utama ibu bapa ialah risiko tekanan akademik terlalu awal, justeru mekanisme pelaksanaan perlu diperjelas kepada mereka," katanya.

Mengenai pelaksanaan Ujian Matriks Pembelajaran Tahun Empat, Mohd Mursyid berkata ia boleh menjadi alat diagnostik yang bermakna jika digunakan bagi menyokong pembelajaran dan bukan sebagai perbandingan antara murid.

"Ujian hanya berkesan apabila disertai intervensi sebenar serta kefahaman guru terhadap pelaksanaannya. Komunikasi jelas kepada ibu bapa juga penting agar ia tidak menjadi punca tekanan baharu kepada murid dan keluarga," katanya.

Beliau turut menekankan bahawa pengukuran pembelajaran di Tingkatan Tiga harus bersifat holistik dan membimbing selaras dengan perkembangan remaja yang sedang mencari identiti, minat dan hala tuju hidup.

Secara keseluruhan, Mohd Mursyid berkata kejayaan RPM 2026-2035 bergantung pada keupayaan sistem dalam meletakkan kesejahteraan murid, peranan guru dan penglibatan ibu bapa sebagai tonggak pelaksanaan.

RPTM dan RPM merupakan dokumen hala tuju utama pembangunan pendidikan tinggi negara bagi tempoh 10 tahun akan datang di bawah RPN 2026-2035 yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Jan lepas.

RPTM diterajui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merupakan dokumen yang bersifat dinamik iaitu fleksibel dan responsif terhadap perubahan landskap global serta kemajuan teknologi manakala RPM yang diterajui Kementerian Pendidikan (KPM) pula akan menjadi rujukan asas pembangunan pendidikan dalam negara.

Pelaksanaan RPTM dan RPM secara bersepadu di bawah Rancangan Pendidikan Negara (RPN) mencerminkan keselarasan dasar pendidikan negara yang menyeluruh dan berfasa bagi memastikan kesinambungan pembangunan modal insan dari peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan