AM > BERITA

Pengguna Bimbang Kenaikan Harga Barangan Makanan Sempena Thaipusam, Tahun Baharu Cina

27/01/2026 01:16 PM

GEORGE TOWN, 27 Jan (Bernama) -- Persatuan Hindu Pulau Pinang (PHA) menyatakan kebimbangan mengenai kenaikan harga barangan makanan asas menjelang sambutan Thaipusam dan Tahun Baharu Cina, susulan aduan pengguna yang giat membuat persiapan musim perayaan.

Presiden PHA Datuk P Murugiah berkata pihaknya telah menerima pelbagai laporan berhubung kenaikan mendadak harga sayur-sayuran dan barangan keperluan asas, mendorong mereka melakukan tinjauan pada 26 Jan di beberapa kedai runcit dan pasar basah di Pulau Pinang.

Beliau berkata tinjauan berkenaan mendapati harga bagi 15 barangan utama mencatatkan kenaikan antara 14 hingga 100 peratus dalam tempoh sebulan.

Ad Banner
Ad Banner

Antara barangan yang menghadapi kenaikan ialah tomato pada harga RM5 sekilogram berbanding RM2.50 sekilogram pada Disember lepas, manakala mangga juga meningkat kepada RM10 sekilogram berbanding RM5 sekilogram dalam tempoh sama.

Selain itu, harga halia dan terung didapati meningkat masing-masing 87.5 dan 71.4 peratus manakala bendi, kubis bunga dan kacang panjang merekodkan kenaikan 40 hingga 50 peratus.

Murugiah berkata kenaikan harga berlaku kerana penganut yang mengekalkan diet vegetarian menjelang Thaipusam, terutamanya jangkaan lebih 100 gerai di sepanjang Western Road menyediakan juadah vegetarian percuma kepada orang ramai.

Beliau berkata penganut serta penganjur yang menyediakan juadah untuk diedarkan turut terbeban akibat kenaikan mendadak harga sayur-sayuran.

“PHA turut menerima aduan daripada suri rumah mengenai perbezaan harga pasar basah dan kedai runcit, yang mendapati ramai peniaga di pasar basah tidak mempamerkan tanda harga dan timbangan sering tidak kelihatan kepada pengguna,” katanya.

Justeru, Murugiah berharap tindakan penguatkuasaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dijalankan bagi memastikan dasar harga siling dilaksanakan terutamanya semasa musim perayaan, selain mencadangkan pemantauan berkala bagi mengelakkan kenaikan harga sewenang-wenangnya.

Selain itu, beliau berkata pihak berkuasa perlu menangani isu kekurangan stok minyak masa pek satu kilogram bersubsidi yang sering berlaku, sambil menekankan keperluan pemeriksaan rawak terhadap peruncit dan pemborong.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan