AM > BERITA

RHB Touch Hearts Meraikan Dekad Memperkasa Pelajar Dan Komuniti

26/01/2026 04:16 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- RHB Banking Group terus memperkukuh komitmennya terhadap pemerkasaan komuniti melalui program sukarelawan pekerja dan penglibatan komuniti, RHB Touch Hearts, yang kini telah memasuki tahun ke-10 pelaksanaannya.

Pengarah Urusan RHB Banking Group Datuk Mohd Rashid Mohamad berkata program bertemakan ‘Memperkasakan Masa Depan, Satu Hati pada Satu Masa’ tahun ini, mencerminkan kepercayaan Kumpulan dalam mewujudkan impak yang berkekalan dan bermakna dengan meletakkan orang ramai sebagai tumpuan inisiatif komuniti.

“Kami percaya bahawa dalam menyantuni komuniti, penting untuk benar-benar menyentuh hati walaupun seorang individu, kerana hubungan itu mampu memberi impak luas kepada masyarakat,” katanya kepada Bernama ketika Sidang Hari Sukarelawan RHB Touch Hearts baru-baru ini.

Ad Banner
Ad Banner

Mohd Rashid, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif RHB Banking Group, berkata kitaran 2025/2026 memberi tumpuan kepada pemerkasaan pelajar dan penambahbaikan persekitaran pembelajaran di sekolah selaras dengan agenda kelestarian Kumpulan di bawah rangka PROGRESS27.

Bagi menyokong matlamat ini, tiga inisiatif utama dilaksanakan, iaitu pendidikan literasi kewangan, program peningkatan kemahiran, dan projek penambahbaikan sekolah yang bertujuan membekalkan pelajar dengan kemahiran hidup praktikal sambil meningkatkan pengalaman pembelajaran mereka secara menyeluruh.

Sementara itu, Pengetua SMK Sungai Pelek, Affandi Hussin, berkata inisiatif yang diperkenalkan oleh RHB membantu menyediakan pelajar menghadapi kehidupan selepas sekolah dengan memberi hala tuju lebih jelas dan meningkatkan kebolehpasaran mereka, terutamanya dari segi literasi kewangan.

“Sokongan industri daripada rakan strategik seperti RHB amat penting bagi memastikan kita melahirkan pelajar berkualiti yang lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya.

Sejak penubuhannya pada 2016, RHB Touch Hearts telah melaksanakan 326 inisiatif komuniti, memberi manfaat kepada lebih 105,000 individu dan komuniti di seluruh ASEAN, dengan jumlah pelaburan sebanyak RM5.26 juta.

Program ini turut melibatkan lebih 5,000 sukarelawan pekerja, menyumbang lebih 11,200 jam sukarela.

Bagi kitaran 2025/2026 sahaja, program ini melaksanakan 44 inisiatif di Malaysia dan pasaran ASEAN lain, memberi manfaat kepada 33,616 penerima dengan pelaburan sosial sebanyak RM370,000, sekali gus mengukuhkan komitmen berterusan RHB dalam memajukan pendidikan, pemerkasaan ekonomi dan kesejahteraan komuniti.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan