DUNGUN, 26 Jan (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) menawarkan 260 lot perniagaan di lima tapak Bazar Ramadan Rahmah di kawasan berkenaan pada bulan puasa tahun ini.
Pengerusi KETENGAH Datuk Rozi Mamat berkata lima tapak bazar itu terletak di Dungun, iaitu Bandar Al Muktafi Billah Shah yang mempunyai 60 lot, Bukit Besi (50 lot) dan Ketengah Jaya (50 lot), manakala di Kemaman pula di Seri Bandi (30 lot) dan Cheneh Baru (70 lot).
"Harga sewa seunit lot berbumbung ialah RM160, manakala lot terbuka pula RM100 sebulan dan harga sewa tersebut rendah serta berpatutan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Yayasan KETENGAH kepada lima pelajar dan seorang mangsa kebakaran di Bukit Besi, dekat sini hari ini.
Rozi berkata lot bazar Ramadan itu ditawarkan kepada peniaga bumiputera di wilayah KETENGAH yang mempunyai sijil pendaftaran perniagaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta tarikh tutup permohonan pada 4 Feb ini.
Beliau berkata peniaga di bazar-bazar Ramadan itu disaran menjual juadah berbuka puasa pada harga berpatutan memandangkan mereka menyewa lot berkenaan dengan harga yang murah.
"KETENGAH mengharapkan peniaga-peniaga meletakkan harga yang tidak tinggi. Kita bantu usahawan dan usahawan pula akan membantu masyarakat di bawah," katanya.
Selain itu, Rozi berkata peniaga juga perlu bertanggungjawab memastikan makanan dan minuman yang dijual terjamin kebersihannya.
"Petugas KETENGAH akan memantau tahap kebersihan gerai dan juadah yang dijual oleh peniaga untuk mengelakkan berlaku keracunan makanan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial