AM > BERITA

Akta Pekerja Gig Dikuatkuasakan Selewat-lewatnya Penghujung Mac - Ramanan

26/01/2026 03:25 PM

PETALING JAYA, 26 Jan (Bernama) -- Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) akan dikuatkuasakan selewat-lewatnya penghujung Mac ini,selepas semua mekanisme pelaksanaan akta berkenaan termasuk majlis perundingan, tribunal dan pejabat berkaitan dimuktamadkan.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan berkata struktur keanggotaan majlis perundingan pekerja gig akan diumumkan kemudian, dengan keutamaan diberikan kepada platform berskala besar seperti Grab yang melibatkan peratusan besar tenaga kerja gig di negara ini.

“Struktur keanggotaan itu bagi sedikit masa, kami akan umumkan…memang kita perlu berikan keutamaan kepada beberapa pihak terutamanya mereka yang terlibat dalam skala besar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kampus Rakan Grab di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Akta Pekerja Gig yang telah diwartakan pada 31 Dis lepas bertujuan memperjuangkan perlindungan sosial, hak kebajikan dan maruah pekerja gig serta memberi perlindungan setara pekerja formal kepada lebih 1.2 juta pekerja gig negara.

Pada masa sama, beliau berkata Grab telah menyatakan komitmen untuk memperluas caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada 15 peratus daripada seluruh pekerja gig berdaftar di bawahnya berbanding 10 peratus sebelum ini.

Selain itu, Grab turut menyediakan latihan serta program peningkatan kemahiran kepada 5,000 pekerja tahun ini dengan sokongan pembiayaan kerajaan melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dalam usaha menyokong kebajikan pekerja gig.

Sementara itu mengenai kawal selia pendapatan pekerja gig, Ramanan berkata kadar gaji minimum nasional sebanyak RM1,700 kekal menjadi dasar asas, manakala pengendalian gaji penghantar tertakluk kepada platform masing-masing.

Beliau turut menolak cadangan menetapkan satu kadar harga lantai seragam bagi semua platform kerana ia  menekan platform e-hailing yang masih bergelut untuk membuat keuntungan selain terdapat keperluan mengekalkan keseimbangan antara kebajikan pekerja dan kelangsungan perniagaan.

“Banyak berpendapat kalau kita jaga pekerja dengan baik, semuanya akan okey. Menang itulah perkara yang biasa dilakukan tetapi seperti yang saya maklum kepada semua pegawai kanan kementerian, kita perlu ada keseimbangan,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan