AM > BERITA

URWAH, AAGBS UiTM Anjur Program Suai Kenal Bersama Penerima Zakat Di Selangor

25/01/2026 01:52 PM

SHAH ALAM, 25 Jan (Bernama) -- Persatuan Amal Kebajikan Sahabat Urwah (URWAH) dengan kerjasama pelajar Arshad Ayub Graduate Business School (AAGBS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) menganjurkan Program Komuniti: Suai Kenal Bersama Penerima Zakat di Selangor, bagi mendekati komuniti penerima zakat. 

URWAH dalam kenyataan memaklumkan program itu bertujuan meningkatkan kesejahteraan komuniti melalui pemahaman yang lebih mendalam terhadap keperluan, pengalaman serta jangkaan sebenar penerima zakat terhadap sistem penyampaian bantuan di Selangor.

Program anjuran pelajar pascasiswazah AAGBS di bawah subjek Applied Business Project (ABP791) itu selaras dengan kajian akademik mereka berkaitan tahap kepuasan penerima zakat, di samping membuka ruang interaksi dua hala yang lebih terbuka antara pelajar, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti penerima zakat.

Ad Banner
Ad Banner

Program berkenaan, yang berada di bawah penyeliaan akademik Profesor Madya Dr Mohd Fathi Abu Yaziz @ Mohamad, menampilkan pengisian antaranya sesi tazkirah ringkas berkaitan zakat serta sesi interaktif bersama penerima zakat bagi mendapatkan gambaran langsung mengenai pengalaman mereka menerima bantuan dan perkhidmatan zakat.

Dekan AAGBS UiTM Profesor Dr. Norzanah Mat Nor berkata program itu mencerminkan komitmen AAGBS dalam memastikan pembelajaran pascasiswazah bukan sahaja bersifat teori, malah berakar dalam realiti komuniti dan tanggungjawab sosial.

Beliau berkata platform seumpama itu penting bagi membina kefahaman yang lebih mendalam, beretika dan empatik terhadap pengalaman sebenar masyarakat penerima zakat, di samping membuka potensi penerima zakat hari ini untuk menjadi penyumbang zakat pada masa hadapan.

Sementara itu, Mohd Fathi berkata pendekatan program yang terancang dan berhemah itu membantu pelajar memperoleh pendedahan kontekstual serta meningkatkan sensitiviti etika terhadap sistem penyampaian zakat dalam kerangka kewangan sosial Islam.

Pengerusi URWAH Mohamad Dhirar Azwar Mohd Nadzri pula menyatakan komitmen persatuan itu untuk menjadi jambatan antara institusi akademik dan komuniti penerima zakat melalui pendekatan yang berfokus kepada pembinaan kepercayaan dan kefahaman bersama.

“Program ini menjadi langkah awal yang penting untuk memahami realiti sebenar kehidupan penerima zakat serta memperkukuh hubungan dengan masyarakat,” katanya, sambil memaklumkan URWAH turut berperanan menyelaras komuniti dan menyediakan token penghargaan kepada penerima zakat yang hadir.

Menurutnya, program itu dijangka dapat memperkukuh jaringan kerjasama pelbagai pihak serta menyumbang kepada pembangunan ilmu dan penambahbaikan perkhidmatan zakat secara lebih menyeluruh di Selangor.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan