AM > BERITA

Thomson Fertility Rekod 8,500 Kelahiran IVF, Kukuh Kedudukan Peneraju Penjagaan Reproduktif

25/01/2026 05:03 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) -- Thomson Fertility terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju penjagaan reproduktif negara apabila merekodkan lebih 8,500 kelahiran bayi hasil rawatan persenyawaan in vitro (IVF) sejak penubuhannya pada 1994.

Pencapaian itu bertepatan dengan ulang tahun ke-32 penubuhan pusat kesuburan berkenaan, yang turut menyaksikan penjenamaan semula TMC Fertility kepada Thomson Fertility sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh perkhidmatan serta memperluas capaian penjagaan reproduktif bertaraf antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Thomson Fertility Lakshmi Menon berkata kejayaan pusat itu berkembang sebagai sebuah institusi penjagaan reproduktif tidak hanya diukur berdasarkan angka kelahiran, malah melalui impak jangka panjang terhadap kesejahteraan keluarga yang mendapatkan rawatan.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata pencapaian itu mencerminkan pertumbuhan organisasi dan misi berterusan Thomson Fertility untuk membawa harapan, peluang dan kegembiraan kepada keluarga penerima rawatan atau pelanggan syarikat dari dalam dan luar negara.

“Penjagaan kesuburan bukan sekadar sains perubatan, tetapi melibatkan nilai kemanusiaan, empati dan harapan. Setiap rawatan membawa kisah tersendiri, dan kami berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan itu,” katanya kepada Bernama.

Pada 2018, Thomson Fertility diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai pusat IVF dengan jumlah kelahiran bayi tertinggi daripada satu pusat, iaitu 5,388 kelahiran, sebelum angka itu terus meningkat kepada lebih 8,500 ketika ini.

Sementara itu, Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi serta Pakar Kesuburan Thomson Fertility Dr Aldrin Lie Tze Min berkata kejayaan institusi berteraskan prinsip menyediakan rawatan kesuburan bertaraf dunia itu turut disumbang oleh pendekatan menyeluruh yang merangkumi aspek kesejahteraan mental dan emosi pesakit.

“Proses kesuburan bukan sekadar isu fizikal. Setiap pesakit mempunyai pengalaman dan cabaran yang berbeza. Sebab itu pendekatan rawatan kami sentiasa bersifat menyeluruh ... bagi kami personal approach (pendekatan peribadi) adalah paling sesuai,” katanya.

Dr Aldrin yang telah berkhidmat selama hampir 19 tahun di pusat itu berkata perubahan nama daripada Damansara Fertility Centre kepada TMC Fertility pada 2008 dan kini Thomson Fertility tidak pernah mengubah komitmen teras institusi berkenaan.

Beliau berkata komitmen menyediakan rawatan terbaik kekal menjadi keutamaan, malah kerjasama dengan Thomson Medical Group membolehkan pusat itu terus meningkatkan lagi keupayaan serta standard perkhidmatan.

Mengulas pencapaian terkini, beliau berkata kadar kehamilan selepas rawatan direkodkan mencapai 61 peratus pada 2024, namun bagi mereka kejayaan sebenar ‘diukur’ apabila pesakit benar-benar dapat membawa pulang bayi hasil rawatan IVF yang dilalui.

“Bagi kami, kejayaan hanya dikira apabila seorang wanita dapat mendukung bayinya dan melangkah keluar dari pusat ini. Itulah ukuran sebenar kejayaan rawatan kesuburan,” katanya dan menambah purata pesakit yang mendapatkan rawatan berumur 35 tahun ke atas.

Dr Aldrin berkata secara purata, pesakit yang menjalani rawatan IVF di Thomson Fertility mempunyai peluang kira-kira 50 peratus untuk membawa pulang bayi, satu kadar yang setara atau lebih tinggi berbanding purata pusat kesuburan di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia.

Selain rawatan IVF, Thomson Fertility turut menawarkan perkhidmatan kesihatan reproduktif lelaki dan wanita secara komprehensif, disokong pasukan pakar pelbagai disiplin di empat cawangan, iaitu Kota Damansara, Puchong, Ipoh dan Johor Bahru, termasuk penubuhan EndoCare @ Thomson bagi rawatan khusus endometriosis.

Selain pesakit tempatan, Thomson Fertility turut menerima pesakit dari luar negara termasuk Indonesia, Singapura, Maldives dan beberapa negara Afrika, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai pusat rawatan kesuburan bertaraf antarabangsa.

“Kami mahu membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi supaya dunia melihat dan mengiktiraf kejayaan rawatan kesuburan yang dicapai di negara ini,” kata Dr Aldrin.

Dengan reputasi yang semakin diiktiraf pada peringkat antarabangsa serta sokongan kepakaran global melalui Thomson Medical Group, Thomson Fertility menyasarkan untuk terus memperluas akses rawatan kesuburan yang mampan, inklusif dan berorientasikan pesakit, selari dengan aspirasi Malaysia sebagai hab penjagaan kesihatan serantau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan