AM > BERITA

TVET Di Peringkat Sekolah Bakal Wujudkan Budaya Pemikiran Baharu Terhadap Kemahiran

24/01/2026 10:39 AM

Oleh Mohd Ashraf Syafiq Mazlan

PUTRAJAYA, 24 Jan (Bernama) -- Pengenalan elemen Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Sekolah Kebangsaan menerusi Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 adalah langkah tepat khususnya dari sudut pembentukan budaya pemikiran baharu masyarakat terhadap kemahiran sebagai aset pembangunan insan. 

Presiden Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (BELIA MAHIR) Mohammad Rizan Hassan berkata di peringkat sekolah rendah dan menengah awal, pendekatan TVET tidak seharusnya difokuskan kepada latihan teknikal secara langsung tetapi kepada pendedahan awal yang membina minat, kefahaman dan penghargaan terhadap kemahiran.

Ad Banner
Ad Banner

“Pendedahan ini membantu pelajar memahami bahawa pembelajaran merangkumi kreativiti, penyelesaian masalah, penggunaan teknologi dan penerokaan potensi diri. Pembentukan budaya pemikiran ini amat penting kerana ia mempengaruhi cara masyarakat termasuk ibu bapa dan pendidik melihat kemahiran sebagai satu nilai dan aset pembangunan insan.

“Apabila budaya ini terbina sejak awal, pelajar akan membesar dengan keyakinan untuk mengenal pasti bakat dan potensi masing-masing, seterusnya membuat pilihan pendidikan dan kerjaya secara lebih sedar dan terarah,” katanya kepada Bernama. 

Pada Selasa lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan RPN 2026–2035 yang merupakan langkah reformasi pendidikan bagi membina masa depan generasi muda yang lebih adil, berdaya saing dan berteraskan nilai.

Antara inti pati RPN diterajui bersama oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 dan Kementerian Pendidikan menerusi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 ialah TVET diperkenalkan di sekolah rendah dan sekolah menengah menerusi Kurikulum Persekolahan 2027.

Mohammad Rizan yang juga Ahli Majlis TVET Negara berkata BELIA MAHIR menyambut baik pengumuman pengukuhan TVET oleh Perdana Menteri yang dilihat sebagai satu langkah strategik dan berpandangan jauh dalam membina hala tuju pendidikan serta pembangunan bakat negara bagi tempoh jangka panjang.

“Pengumuman ini mencerminkan perubahan penting dalam pendekatan pembangunan modal insan negara, khususnya dengan meletakkan kemahiran sebagai elemen teras dalam sistem pendidikan, sejajar dengan keperluan ekonomi, teknologi dan industri masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Rizan berkata pengukuhan TVET tidak boleh tertumpu kepada pelajar sahaja sebaliknya peningkatan keupayaan dan kemahiran tenaga pengajar perlu diberikan penumpuan yang serius.

“Tenaga pengajar merupakan tunjang kepada keberkesanan TVET dan perlu sentiasa diperkasakan melalui latihan berterusan, pendedahan industri serta penguasaan teknologi dan kaedah latihan terkini. Selain itu, kemudahan latihan dan peralatan juga perlu bergerak seiring dengan perkembangan industri.

“Persekitaran pembelajaran yang relevan dan moden bukan sahaja meningkatkan kualiti latihan, tetapi juga memastikan kemahiran yang dibangunkan benar-benar selari dengan realiti tempat kerja,” katanya.

Beliau berkata keterlibatan industri juga perlu menjadi elemen utama dalam pengukuhan TVET.

Mohammad Rizan berkata industri bukan sekadar penerima graduan, malah rakan strategik dalam membentuk kurikulum, menetapkan standard kemahiran serta mengenal pasti keperluan tenaga kerja masa hadapan.

“Keterlibatan industri yang konsisten akan memberikan keyakinan bahawa sistem TVET negara mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang relevan, adaptif dan bersedia memenuhi keperluan industri bukan sahaja pada hari ini malah dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan