AM > BERITA

Pembangunan Semula Dermaga P Pinang Perlu Koordinasi Rapi Pihak Berkepentingan – Loke

22/01/2026 08:58 PM

GEORGE TOWN, 22 Jan (Bernama) -- Pelan pembangunan semula kawasan dermaga (waterfront) Pulau Pinang memerlukan koordinasi rapi antara pelbagai pihak berkepentingan kerana ia melibatkan aset, bangunan warisan serta pengurusan pelabuhan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata projek itu di peringkat Kementerian Pengangkutan (MOT) melibatkan Railway Assets Corporation (RAC) selaku pemilik Wisma Kastam atau Malayan Railway Building yang telah berdiri sejak 1909, manakala kawasan dermaga dan marina pula di bawah seliaan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang.

“Justeru, kerjasama antara agensi persekutuan dan negeri amat penting bagi memastikan pelaksanaan yang teratur dan menyeluruh,”  katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini, selepas taklimat terkini pelan pembangunan semula kawasa berkenaan di Menara Sentral RAC, Kuala Lumpur.

Ad Banner
Ad Banner

Menurut Loke, kerajaan negeri telah mencapai kemajuan yang baik dalam usaha mewujudkan ruang awam di sepanjang kawasan dermaga, selari dengan aspirasi pembangunan bandar berteraskan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata agensi di bawah MOT akan terus memberikan kerjasama bagi memperluas ruang awam serta menghidupkan semula bangunan warisan di kawasan sekitar supaya dapat dimanfaat oleh rakyat tempatan dan pelancong.

“Loceng Wisma Kastam akan bergema semula,” katanya, sambil menegaskan komitmen kerajaan dalam memelihara nilai sejarah dan warisan dalam agenda pembangunan negara.

Ketika lawatan ke Pulau Pinang pada 12 Jan lepas, Loke menyentuh mengenai rancangan pembangunan tersebut sebagai kawasan pesisir laut mesra orang awam yang akan dilaksanakan menerusi inisiatif pembiayaan swasta (PFI).

Beliau berkata matlamatnya adalah untuk mewujudkan laluan pejalan kaki lebih satu kilometer, dengan orang ramai boleh menikmati pemandangan laut, selain kemudahan kafe dan pelancongan, sekali gus menjadikan Pulau Pinang sebagai hab pelancongan kapal persiaran.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan