KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Pelaksanaan kenaikan gaji baharu Fasa Kedua di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) hari ini membangkitkan semangat penjawat awam untuk memberikan perkhidmatan lebih cemerlang.
Pensyarah Universiti Sains Malaysia Dr Shahremy Ikmal Shahbudin, 42, berkata menghargai kenaikan gaji sebanyak tujuh peratus itu yang disifatkan sebagai penghargaan dan pengiktirafan kerajaan kepada penjawat awam.
“Kenaikan kali kedua ini membangkitkan semangat dan memberi motivasi kepada kami untuk terus berkhidmat dengan dedikasi dalam membantu kerajaan mendepani cabaran masa kini,” katanya kepada Bernama.
Penerbit Rancangan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) Wan Nor Shazila Wan Zain, 42, berkata pelarasan gaji bertepatan dengan situasi semasa bagi memenuhi komitmen harian yang semakin meningkat, khususnya bagi beliau yang mempunyai empat anak masih bersekolah.
“Ia sekurang-kurangnya membantu mengekalkan kestabilan kewangan keluarga dan dalam masa sama meningkatkan motivasi serta produktiviti kerja,” katanya.
Anggota polis Muhamad Iskandar Mohd Sukor, 29, berkata kenaikan gaji itu diharap meningkatkan semangat untuk melaksanakan amanah dengan penuh integriti demi negara.
“Inisiatif ini sedikit sebanyak membantu kami mengurus perbelanjaan dengan lebih baik sehingga hujung bulan dan meningkatkan semangat untuk bekerja lebih baik,” katanya.
Petugas Kementerian Kesihatan Muhammad Afzanizam Jamaluddin, 32, bersyukur dengan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan penjawat awam.
“Diharapkan kerajaan terus menjaga kebajikan penjawat awam dan membuat semakan gaji dari semasa ke semasa seiring dengan kos sara hidup akan datang,” katanya.
Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Dr Adnan Mat berkata pelarasan gaji itu bukan sahaja memberi kelegaan kewangan, malah menyuntik semangat dan motivasi penjawat awam untuk meningkatkan mutu perkhidmatan yang cekap, berintegriti dan berorientasikan rakyat.
“CUEPACS menyambut baik penegasan kerajaan bahawa pelarasan gaji itu amanah serta tanggungjawab besar yang perlu diterjemahkan melalui peningkatan prestasi kerja dan penjawat awam wajar memperkukuh budaya kerja berprestasi tinggi, meningkatkan tahap profesionalisme, kecekapan, integriti serta proaktif dalam melaksanakan tugas,” katanya.
Penjawat awam yang memilih SSPA menerima pelarasan gaji Fasa Kedua pada pembayaran gaji bermula hari ini, dengan kadar kenaikan dikira berdasarkan gaji akhir pada 31 Dis 2025.
Pelarasan gaji Fasa Kedua merupakan kesinambungan kenaikan gaji di bawah SSPA yang diumumkan pada 2024 melibatkan kadar keseluruhan 15 peratus bagi Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P) serta tujuh peratus bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT).
Di bawah Fasa Kedua, Kumpulan P&P menerima tambahan kenaikan sebanyak tujuh peratus, manakala KPT menerima pelarasan sebanyak tiga peratus.
Dalam pada itu, lebih 950,000 pesara perkhidmatan awam turut tidak ketinggalan menikmati pelarasan pencen Fasa Kedua di bawah SSPA pada 1 Jan.
Setiausaha Agong Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Maarof Kassim berterima kasih kepada kerajaan atas inisiatif tersebut.
Beliau berkata kenaikan tersebut menunjukkan kerajaan memberi penghargaan kepada pesara yang telah menabur bakti memberi perkhidmatan kepada rakyat dalam bidang masing-masing.
“Saya sudah bersara kira-kira 20 tahun dan pemberian kenaikan pencen ini dapat digunakan untuk perbelanjaan harian,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial