AM > BERITA

STR Terus Jadi Sandaran Bantu Kos Sara Hidup

20/01/2026 06:42 PM

KOTA KINABALU, 20 Jan (Bernama) -- Bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) terus memberi kelegaan kepada rakyat, khususnya golongan B40, dalam menghadapi tekanan kos sara hidup yang semakin mencabar.

Suri rumah, Zaliha Jaafar, 51, berkata bantuan kewangan itu amat bermakna buat keluarganya kerana digunakan untuk menampung perbelanjaan harian termasuk membeli air mineral ketika gangguan bekalan air di kawasan kediamannya.

Nenek kepada lapan cucu yang menetap di Taman Keramat, Putatan itu berkata gangguan bekalan air yang kerap menyebabkan mereka terpaksa menambah perbelanjaan rumah.

Ad Banner
Ad Banner

“Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan, terutama untuk golongan B40 yang sangat memerlukan. Bantuan ini benar-benar membantu,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Pesara Maah Mahali Hussin, 74, berkata STR membantu meringankan beban perbelanjaan hariannya, terutamanya bagi membeli barangan keperluan asas.

Maah Mahali berkata sebagai pesara yang tidak mempunyai pendapatan lain, bantuan itu amat dihargai dan mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat.

“Alhamdulillah, STR banyak membantu perbelanjaan harian. Terima kasih kepada kerajaan dan saya berharap bantuan seperti ini diteruskan,” katanya.

Seorang lagi penerima Ashari Puteh, 69, berkata STR membantu meringankan beban kewangannya membeli barangan dapur dan keperluan asas.

Bapa kepada tiga anak itu berkata bantuan itu antara lain digunakan untuk membeli air mineral dan barangan diperlukan keluarga.

“Saya berharap STR dapat diteruskan dan sekiranya boleh, jumlah bantuan ditambah lagi,” katanya selepas membeli barangan dapur di sebuah pasar raya di sini.

STR Fasa 1 tahun ini mula disalurkan hari ini, memberi manfaat kepada 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tiada pasangan melibatkan peruntukan sebanyak RM1.1 bilion.

Setiap penerima akan menerima bantuan antara RM100 hingga RM500 mengikut kategori kelayakan masing-masing.

-- BERNAMA

 

     


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan