AM > BERITA

KPKT Sedia Bentang Semula RUU PSB

20/01/2026 01:59 PM

PUTRAJAYA, 20 Feb (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersedia membentangkan semula Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025 untuk bacaan kali kedua.

Menterinya Nga Kor Ming berkata RUU itu penting untuk penduduk yang terkesan dengan bangunan-bangunan daif, usang dan membahayakan.

"Sekiranya Jemaah Menteri bersetuju, mesej saya, KPKT sentiasa bersedia.

Ad Banner
Ad Banner

"Hal ini kerana kita percaya perkara ini amat penting untuk masa depan pembangunan bandar kita,” katanya kepada media selepas Majlis Amanat Bersama Warga KPKT di sini hari ini.

Pada 28 Ogos lepas, bacaan kali kedua RUU berkenaan telah dibentangkan namun tidak dibahaskan sebelum ditangguhkan ke persidangan berikutnya.

Keputusan penangguhan diambil berikutan terdapat beberapa kebimbangan dan bantahan yang dibangkitkan termasuk oleh Ahli Parlimen Barisan Nasional dan PKR.

Dalam perkembangan lain, Nga berkata susulan penguatkuasaan Perintah Khidmat Masyarakat di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang mula berkuatkuasa 1 Jan lepas di beberapa negeri menyaksikan lebih 340 pesalah termasuk warga asing ditangkap dalam tempoh 15 hari.

"Saya jangka sebelum Tahun Baharu Cina mereka akan dijemput buat khidmat masyarakat, seperti membersihkan jalan, mencuci longkang dan tandas awam.

"Mulai 1 Jan lepas, saya harapkan lebih 300 penguat kuasa SWCorp, tangkap (mereka yang buat kesalahan) tak kira mereka siapa, warga asing atau warganegara," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Perintah Khidmat Masyarakat di bawah Akta 672 berkuat kuasa mulai 1 Jan 2026 sebagai satu daripada hukuman bagi menangani masalah pembuangan sampah kecil di tempat awam.

Pelaksanaan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat itu berkuat kuasa di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis dan Kedah serta dua Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan