KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mencadangkan supaya satu Pentaksiran Diagnostik Kebangsaan yang terancang dan seragam dilaksanakan dalam sistem pendidikan kebangsaan merangkumi peringkat akhir sekolah rendah dan menengah.
Presiden ABIM Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata pentaksiran yang dicadang itu akan berperanan sebagai penilaian kepada literasi asas seperti bacaan, numerasi dan sains.
Beliau berkata data berkenaan penting bagi tujuan intervensi pendidikan yang bersasar dan berkesan, serta penandaarasan antarabangsa, tanpa meletakkan beban sosial dan psikologi berlebihan kepada pelajar serta keluarga.
"ABIM percaya bahawa Pendidikan MADANI menuntut sistem pentaksiran yang adil, berintegriti dan berteraskan karamah insaniah.
"Kami bersedia bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan sebagai rakan strategik masyarakat sivil dalam memperincikan reka bentuk, pelaksanaan dan komunikasi awam berkaitan sistem pentaksiran kebangsaan yang lebih matang, konsisten dan berteraskan nilai kemanusiaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Ahmad Fahmi turut menyatakan pendirian ABIM yang tidak bersetuju dengan cadangan mengembalikan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
Beliau berkata cadangan itu tidak akan menyelesaikan pelbagai persoalan penting untuk pendidikan kanak-kanak dan generasi muda, khususnya ketika negara sedang berusaha mematangkan pelaksanaan Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 serta Kurikulum Persekolahan 2027.
Sebaliknya, Ahmad Fahmi mencadangkan supaya memperkasakan pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), bermula dengan pengukuhan kompetensi guru sebagai pelaksana utama di lapangan.
"Latihan PBD perlu distrukturkan secara lebih praktikal, berfasa dan berterusan, termasuk dalam aspek moderasi, pensampelan evidence (bukti) dan pertimbangan profesional guru. Beban dokumentasi bersifat mekanikal perlu dikurangkan supaya PBD kembali kepada tujuan asalnya sebagai sokongan pembelajaran, bukan beban pentadbiran.
"Usaha membina kefahaman dan kesedaran ibu bapa mengenai PBD juga perlu diperkukuh bagi menutup jurang komunikasi dan memulihkan keyakinan masyarakat terhadap sistem pendidikan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial