AM > BERITA

Titah Agong Cermin Hala Tuju Matang Negara - Ahli Akademik

19/01/2026 05:00 PM

Oleh Ahmad Aidil Syukri Hamzah

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Ke-15 disifatkan sebagai mencerminkan hala tuju negara yang semakin matang dengan penekanan jelas pemulihan ekonomi secara inklusif, pengukuhan tadbir urus serta kesejahteraan rakyat sebagai teras pembangunan nasional, menurut  ahli akademik.

Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Mujibu Abd Muis berkata fokus Seri Paduka Baginda terhadap Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) khususnya aspek pendidikan, perumahan, kesihatan dan pengangkutan awam, menunjukkan pendekatan pembangunan negara yang tidak lagi tertumpu kepada pertumbuhan ekonomi semata-mata, sebaliknya menitikberatkan kualiti hidup rakyat.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata penegasan Yang di-Pertuan Agong bahawa segala perancangan tidak akan berhasil selagi amalan rasuah berleluasa membawa mesej jelas bahawa tadbir urus yang bersih dan berintegriti merupakan prasyarat utama kepada kejayaan pembangunan negara.

“Ini mencerminkan satu pendekatan negara yang semakin matang, di mana legitimasi kerajaan bukan hanya bergantung kepada mandat politik, tetapi juga kepada keupayaan mengurus amanah awam dengan berintegriti,” katanya kepada Bernama.

Mengulas cadangan pembaharuan politik dalam titah Diraja, termasuk had tempoh jawatan Perdana Menteri dan pemisahan peranan Peguam Negara serta Pendakwa Raya, Mujibu berkata langkah itu wajar dilihat sebagai usaha memperkemas struktur institusi.

“Dari sudut teori politik, pembaharuan ini bertujuan mengurangkan penumpuan kuasa dan memperkukuh mekanisme semak dan imbang dalam sistem pemerintahan,” katanya.

Sementara itu, menyentuh gesaan tegas Seri Paduka Baginda supaya rasuah, jenayah berat, ancaman keselamatan digital dan isu 3R ditangani tanpa mengira pangkat atau kedudukan, beliau berkata pendekatan itu memberi isyarat bahawa negara berada dalam fasa memperkukuh semula autoriti institusi.

“Dari sudut keyakinan rakyat, pendekatan ini berpotensi memberi kesan positif sekiranya disusuli tindakan yang telus dan berkesan. Namun, jika penguatkuasaan dilihat selektif atau bermotif politik, ia boleh membawa kesan sebaliknya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata ketegasan luar biasa Yang di-Pertuan Agong terhadap isu rasuah memberi isyarat jelas bahawa integriti institusi negara perlu dipulihkan secara menyeluruh tanpa kompromi.

Beliau berkata pendirian Seri Paduka Baginda, termasuk melabelkan pelaku dan pelindung rasuah sebagai pengkhianat negara, mencerminkan tahap keseriusan isu itu pada masa ini.

“Titah itu menggambarkan betapa seriusnya Tuanku terhadap isu rasuah dan ia juga mencerminkan sokongan jelas kepada usaha dalam memerangi rasuah melalui tindakan penguatkuasaan yang sedang dijalankan ketika ini,” katanya.

Mazlan berkata perkembangan semasa menunjukkan mesej itu bukan sekadar simbolik apabila semakin banyak kes rasuah dibongkar dan disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk yang telah dibawa ke mahkamah.

“Kita lihat pada masa ini banyak kes yang telah dibongkar dan juga disiasat oleh SPRM dan sebahagiannya sudah pun didakwa di mahkamah,” katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong dalam titah baginda antara lain menegaskan keperluan memerangi rasuah secara besar-besaran, memperkukuh undang-undang dan institusi demokrasi, menangani ancaman keselamatan moden serta memastikan perpaduan nasional dan kesejahteraan rakyat terus dipelihara.

Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 bermula hari ini dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada istiadat pembukaan mesyuarat itu menjadi tumpuan utama bagi perasmian kedua-dua dewan, iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

​Berdasarkan takwim di laman web rasmi Parlimen, persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung selama 20 hari itu akan menyaksikan pembentangan usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja, diikuti dengan sesi perbahasan usul berkenaan selama tujuh hari mulai 20 Jan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan