AM > BERITA

Pengakap Perkukuh Peranan di Sabah, Sarawak Melalui Program Berasaskan Komuniti

18/01/2026 06:35 PM

BINTULU, 18 Jan (Bernama) -- Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) memperkukuh peranannya dalam membentuk sahsiah dan kepimpinan belia di Sarawak serta Sabah menerusi pelancaran kumpulan pengakap di bawah program Pengakap Berasaskan Komuniti (CBS) di negeri ini. 

Ketua Pengakap Negara Mejar Jeneral (B) Datuk Prof Dr Mohd Zin Bidin berkata pendekatan CBS membolehkan pergerakan pengakap diperluas secara lebih menyeluruh serta responsif terhadap keperluan komuniti setempat.

Beliau berkata meskipun pengakap berasaskan sekolah telah memberi sumbangan besar sejak sekian lama, pendekatan berasaskan komuniti perlu diperluas bagi memastikan lebih ramai belia dapat menikmati manfaat menerusi inisiatif itu.

Ad Banner
Ad Banner

“Melalui CBS, pengakap dibawa terus ke kampung, kawasan perumahan dan komuniti setempat, sekali gus menjadikannya lebih mudah diakses serta lebih dekat dengan keperluan sebenar masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program berkenaan di sini.

Mengulas pelaksanaan CBS di Sarawak, Mohd Zin berkata pendekatan itu amat bersesuaian dengan negeri ini yang mempunyai keluasan geografi yang luas serta kepelbagaian komuniti.

Beliau berkata CBS membuka peluang kepada belia tanpa mengira lokasi dan latar belakang pendidikan untuk menyertai pengakap serta memperoleh manfaat pembentukan sahsiah, disiplin dan kepimpinan.

Dalam pada itu, beliau berkata PPM menetapkan sasaran untuk meningkatkan keahlian sehingga sejuta orang dalam tempoh beberapa tahun akan datang, khususnya melalui pelaksanaan CBS secara meluas di seluruh negara.

Menurut Mohd Zin, ketika ini PPM mempunyai 700,000 ahli.

Majlis pelancaran CBS disempurnakan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.

Turut hadir Penasihat di Jabatan Premier Sarawak merangkap Yang Dipertua Majlis Pengakap Sarawak Tan Sri William Mawan Ikom, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu Johnny Pang Leong Ming serta Timbalan Yang Dipertua Majlis Pengakap Negara Datuk Ahmad Shazilly Ismail Bakti.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan