KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- MCIS Insurance Bhd (MCIS Life) melancarkan buku 100 Native Tree Species in Malaysia sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) untuk mempromosikan pendidikan alam sekitar dan kesedaran pemuliharaan.
Dihasilkan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), buku ini menjadi komponen utama dalam kerangka kerja kelestarian MCIS Life, mengetengahkan penyelidikan botani yang berdekad lamanya kepada pengetahuan yang mudah diakses oleh pelajar, pendidik dan orang ramai.
Pengerusi MCIS Life Mohammad Nizar Idris berkata penerbitan itu mencerminkan kepercayaan syarikat insurans bahawa perlindungan alam sekitar perlu berasaskan pendidikan dan kefahaman.
Beliau berkata amalan perniagaan lestari syarikat adalah dengan menumpukan kepada pembangunan polisi kelestarian dalaman sambil meningkatkan kesedaran dalam kalangan pekerja dan pihak berkepentingan yang berkaitan dengan organisasi itu.
“Sebagai syarikat insurans hayat, secara asasnya kami mengambil berat mengenai kesihatan dan kesejahteraan para pemegang polisi.
“Penglibatan kami dalam menanam pokok di seluruh negara adalah sebahagian daripada sumbangan bagi menangani perubahan iklim, dan usaha ini telah dijalankan selama beberapa tahun,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran buku itu di Taman Botani Kepong, di sini hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah FRIM Datuk Dr Ismail Parlan dan Ketua Pegawai Eksekutif MCIS Life Prasheem Sebran.
Mohammad Nizar berkata pokok memainkan peranan tidak langsung dalam industri insurans hayat kerana ia menyumbang kepada persekitaran sihat, yang menyokong kesejahteraan rakyat dalam jangka panjang.
“Orang ramai mungkin tertanya-tanya, kenapa syarikat insurans hayat menumpukan kepada pokok? Ini kerana kesihatan alam sekitar menjadi faktor utama dalam pengurusan risiko dan penilaian risiko insurans hayat.
“Kami yakin perlindungan alam sekitar jangka panjang menjadi lebih berkesan apabila tindakan disertai dengan pemahaman. Apabila kita mendidik kanak-kanak lebih awal tentang kepentingan pokok, maka kita dapat membentuk hati dan minda serta memupuk masa depan yang akan melindungi planet kita,” katanya.
Mohammad Nizar berkata kerjasama dengan FRIM itu bagi memastikan penerbitan itu memenuhi piawaian saintifik yang tinggi, menjadikannya rujukan berharga untuk sekolah dan pembuat dasar.
The book launch also forms part of MCIS Life’s integrated, system-based sustainability approach anchored on three core pillars -- Understanding, Action and Access -- with the publication representing the Understanding pillar by providing a scientific foundation and raising conservation awareness.
Pelancaran buku itu juga adalah sebahagian daripada pendekatan kelestarian bersepadu dan berasaskan sistem MCIS Life yang berlandaskan tiga tonggak utama, iaitu kefahaman, tindakan dan akses, yang mewakili tonggak kefahaman adalah melalui penyediaan asas saintifik dan meningkatkan kesedaran pemuliharaan.
Buku ini akan diterbitkan dalam edisi cetakan terhad untuk kegunaan pendidikan dan disertakan dengan edisi digital bagi memperluas capaian sambil meminimumkan kesan terhadap alam sekitar.
Salinan buku dan bahan pendidikan akan diedarkan kepada sekolah terpilih, sekali gus mengukuhkan kepercayaan syarikat bahawa pendidikan awal menjadi pemangkin utama perubahan tingkah laku untuk jangka panjang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial