KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Malaysia secara rasmi menjadi Negara Ahli kepada dua triti angkasa utama di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), satu langkah penting yang mengukuhkan komitmen negara terhadap tadbir urus dan pelaksanaan aktiviti angkasa secara selamat serta bertanggungjawab.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam kenyataan memaklumkan triti berkenaan ialah Treaty on Principles Governing the Activities of States in the Exploration and Use of Outer Space, Including the Moon and Other Celestial Bodies 1967 (OST 1967) serta Konvensyen Mengenai Pendaftaran Objek Yang Dilancarkan Ke Angkasa Lepas (REG 1975).
Menurut MOSTI, penyertaan Malaysia dimuktamadkan melalui penyerahan instrumen penyertaan oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan sempena Perhimpunan Agung PBB di Amerika Syarikat pada 26 Sept 2025.
“Langkah strategik ini merupakan kesinambungan usaha kerajaan dalam memperkukuh tadbir urus dan kawal selia aktiviti angkasa negara, bermula dengan pewartaan Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 (Akta 834) pada 25 Jan 2022 dan penguatkuasaan penuh akta berkenaan pada 1 Jan 2025.
“Triti Angkasa PBB merupakan rangka kerja undang-undang antarabangsa yang menetapkan prinsip asas bagi memastikan penggunaan ruang angkasa dijalankan secara selamat, bertanggungjawab dan memberi manfaat kepada semua umat manusia,” menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang menyifatkan penyertaan berkenaan sebagai pelengkap penting yang menjadikan ekosistem perundangan angkasa negara lebih holistik dan komprehensif.
“Akta 834 adalah perisai domestik kita, manakala triti ini adalah jambatan diplomasi kita. Gabungan kedua-duanya mampu menjadikan Malaysia destinasi yang diyakini dan selamat untuk pelaburan aktiviti angkasa,” katanya.
Beliau berkata penyertaan Malaysia dalam OST 1967 dan REG 1975 merupakan fasa seterusnya dalam pembangunan sektor angkasa negara yang dirangka secara berperingkat menerusi Dasar Angkasa Negara 2030 yang dilancarkan pada 2017.
MOSTI memaklumkan penyertaan itu turut melindungi kepentingan negara serta meningkatkan reputasi Malaysia sebagai sebuah negara angkasa baharu, selain membuka lebih banyak peluang untuk menyertai program angkasa di peringkat antarabangsa sejajar dengan pertumbuhan pesat sektor angkasa global.
Sebagai Negara Ahli, Malaysia juga dapat menyuarakan pandangan secara lebih berkesan mengenai kepentingan angkasa, khususnya berkaitan penggunaan ruang angkasa secara aman dan bertanggungjawab serta pengurusan trafik angkasa bagi memastikan kelestarian angkasa lepas.
Dalam pada itu, MOSTI sedang menilai kesiapsiagaan negara untuk menyertai triti angkasa lain melalui Jawatankuasa Kerja Triti Angkasa, selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Angkasa Negara 2030.
Langkah berkenaan bertujuan memperkasakan sektor angkasa negara melalui kerjasama antarabangsa, selain menyokong sasaran Dasar Angkasa Negara 2030 untuk menyumbang sekurang-kurangnya RM10 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan menjelang 2030.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial