AM > BERITA

Ahmad Zahid, Beberapa Menteri Ajak Umat Islam Hayati Peristiwa Israk Mikraj

17/01/2026 12:25 AM

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa menteri mengucapkan Salam Israk Mikraj 1447H, dengan mengajak seluruh umat Islam untuk bersama menghayati peristiwa penting dalam sejarah Islam itu.

Ahmad Zahid menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata peristiwa agung itu mengingatkan umat Islam tentang perjalanan iman yang menuntut keyakinan, ketaatan dan keteguhan hati.

“Semoga penghayatan terhadap Israk Mikraj terus menyuburkan hubungan kita dengan Allah SWT, memperkukuh amalan solat dalam kehidupan seharian serta membimbing langkah kita ke arah kesejahteraan ummah dan kemajuan negara. Insya-Allah,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner

Israk Mikraj merupakan peristiwa penting dalam sejarah Islam yang memperingati perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis, sebelum Baginda diangkat ke Sidratul Muntaha. 

Peristiwa ini menjadi asas pensyariatan solat fardu lima waktu yang menjadi tunjang utama kehidupan umat Islam serta lambang ketaatan dan kepatuhan kepada perintah Allah SWT.

Pada masa sama, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam hantaran di X berkata peristiwa agung itu bukan sekadar kisah mukjizat Rasulullah SAW, tetapi seruan untuk umat Islam supaya bersama memperteguh iman, memperhalusi akhlak dan menjaga amanah sesama manusia.

“Israk Mikraj mengingatkan kita bahawa dalam setiap perjalanan hidup, hubungan kita dengan Allah SWT adalah kekuatan sebenar. Semoga peringatan ini mengajak kita untuk terus melangkah dengan rendah hati, memimpin dengan ihsan dan berkhidmat dengan penuh keikhlasan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata Israk Mikraj bukan sekadar peristiwa besar dalam sejarah Islam tetapi juga satu peringatan tentang kekuatan iman dan hubungan hamba dengan Tuhannya.

Beliau berkata daripada peristiwa itu juga lahir perintah solat sebagai tunjang kehidupan serta sumber ketenangan, disiplin dan kekuatan jiwa, di samping mengingatkan bahawa dalam kesibukan membangunkan negara, kemajuan sebenar berlandaskan pengajaran Israk Mikraj yang berpaksikan nilai, kejujuran dan amanah.

“Nilai inilah yang menjadi nadi kepada seluruh lapisan rakyat, termasuk petani, penternak dan nelayan yang bekerja keras demi rezeki keluarga dan kelangsungan negara. Merekalah wira makanan negara.

“Setiap titis keringat adalah amanah dan menjadi tanggungjawab kita untuk bersama memastikan kebajikan mereka terus terpelihara serta masa depan sentiasa terbela.

“Semoga peringatan Israk Mikraj ini menyatukan hati, menguatkan akal dan meneguhkan keyakinan jiwa kita semua, agar Malaysia terus dibina dengan ihsan, keadilan dan kesejahteraan untuk semua,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan