AM > BERITA

Program Bual Bicara "Dua Sisi" Bakal Ke Udara Setiap Sabtu Di Bernama TV

16/01/2026 07:18 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Program bual bicara televisyen baharu “Dua Sisi”,  platform yang pertama seumpamanya mempertemukan tiga dimensi utama iaitu intelektual, korporat dan keusahawanan, akan mula bersiaran setiap Sabtu bermula esok secara eksklusif di Bernama TV.

KNKV Group Sdn Bhd dalam kenyataan memaklumkan program terbitannya itu akan bersiaran bermula 9 malam selama satu jam dengan keseluruhan 24 episod.

Kenyataan itu memaklumkan Dua Sisi  dibangunkan sebagai platform perbincangan yang berbeza daripada format bual bicara konvensional, dengan sasaran penonton terdiri daripada golongan profesional, pembuat keputusan serta individu yang menuntut kandungan bermakna, berfakta dan bernilai tinggi.

Ad Banner
Ad Banner

“Setiap episod dirangka bukan sekadar sebagai perbincangan tetapi medan analisis, cabaran pemikiran dan perkongsian strategi yang memberi nilai praktikal kepada penonton,” menurut kenyataan itu. 

Antara segmen dalam program itu ialah “Sisi Bicara” yang memberi ruang kepada tokoh korporat, ketua pegawai eksekutif syarikat berkaitan kerajaan serta pemimpin industri untuk mengupas isu kepimpinan, transformasi digital, kelestarian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan pengurusan krisis ekonomi secara mendalam.

Segmen itu akan dikendalikan Datuk Seri Dr Zurainah Musa yang dikenali sebagai peneraju rancangan dengan pengalaman luas dalam kepimpinan dan tadbir urus.

Elemen dinamik rancangan diteruskan menerusi segmen “Sisi Debat” dikendalikan Azhar Jalil,  yang menampilkan perdebatan satu lawan satu, menuntut ketajaman hujah, disiplin fakta dan kejelasan pemikiran, sekali gus mengangkat budaya perbahasan intelektual secara profesional di televisyen arus perdana.

“Melengkapkan struktur rancangan ialah segmen “Sisi Niaga” yang dikendalikan Irma Hasmie. Dengan latar belakang luas dalam pengacaraan dan penceritaan televisyen, beliau membawa pendekatan profesional tetapi mesra dalam mengetengahkan kisah usahawan dan perniagaan tempatan,” menurut kenyataan itu.

KNKV Group memaklumkan Dua Sisi turut menawarkan persekitaran kandungan yang diyakini dan selamat, menjadikan rancangan ini sesuai untuk jenama yang ingin dikaitkan dengan pemikiran kepimpinan, kepercayaan dan kredibiliti.

“Gabungan siaran televisyen nasional dan pengedaran kandungan digital KNKV Group turut memastikan jangka hayat kandungan yang lebih panjang serta impak komunikasi yang berterusan.

“Melalui penerbitan Dua Sisi, KNKV Group mengukuhkan peranannya sebagai penerbit kandungan televisyen yang memahami keperluan penonton moden serta kehendak pengiklan yang menitikberatkan persekitaran kandungan berautoriti dan diyakini,” menurut kenyataan itu.

Mereka yang berminat menjalinkan kerjasama, penajaan atau pengiklanan bersama rancangan ini boleh hubungi 017-2055384 atau emel corporate@knkvgroup.com.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan