KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Semua keputusan perolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkait isu rasuah dibekukan sementara sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata kerajaan melalui kementerian terlibat akan meneliti dan menyusun semula semua perolehan bagi memastikan ketelusan sistem sedia ada.
“Saya berterima kasih kerana Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, atas kenyataan yang sangat jelas berkenaan perkara ini.
"Kita akan ambil perhatian dan menunggu laporan untuk meneliti sebarang kelompongan atau kelemahan dalam sistem perolehan, supaya proses dipatuhi sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju di sini hari ini.
Sebelum ini, Kementerian Pertahanan (MINDEF) dilaporkan merancang rombakan besar-besaran pelan antirasuah tahun ini, termasuk menyemak semula keseluruhan proses tender dan perolehan selaras amalan terbaik tadbir urus.
Usaha itu bertujuan membanteras ketirisan, penyelewengan dan salah guna kuasa yang boleh menjejaskan wibawa institusi pertahanan negara.
Pada 7 Jan lepas , Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas Panglima Tentera Darat (PTD) dan dua isterinya berkaitan projek perolehan Tentera Darat selain menyita barangan bernilai RM11.4 juta hasil risikan di dua lokasi, iaitu di sebuah rumah di Kuala Lumpur dan satu lagi di Besut, Terengganu.
Mengulas lanjut, Anwar berkata tindakan tegas dan menyeluruh SPRM itu memastikan rakyat tidak menanggung kesan negatif, termasuk terhadap kemajuan ekonomi negara.
Beliau berkata selain SPRM, kerajaan turut memberi ruang penuh kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk bertindak, dan kejayaan usaha ini memerlukan tekad politik serta kerjasama rakyat secara menyeluruh.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial