PETALING JAYA, 15 Jan (Bernama) -- Kerja pembinaan Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang menghubungkan Malaysia dan Singapura berjalan lancar dan dijangka dapat disiapkan mengikut jadual hujung tahun ini.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kebanyakan pembinaan infrastruktur fizikal dilaporkan selesai dan telah memasuki fasa pemasangan sistem RTS.
"Di dalam stesen, dari segi bangunannya dan strukturnya telah siap tetapi sekarang kita memasang sistem sebelum melakukan ujian sistem, tanpa ujian itu ia tidak boleh beroperasi. Jadi dalam beberapa bulan ini memang banyak ujian akan dilaksanakan.
"Tren pun sedang diuji di atas landasan di Johor Bahru. Kita harapkan semuanya berjalan lancar dan dapat disiapkan pada Disember, seterusnya dibuka untuk operasi pada Januari 2027," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan dasar pada persidangan The CEO Series 2026 anjuran REHDA Institute di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi REHDA Institute Datuk Jeffrey Ng Tiong Lip.
Loke berkata penggubalan rang undang-undang (RUU) baharu bagi memudah cara operasi kawalan sempadan secara bersama projek RTS Link Johor Bahru-Singapura yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada persidangan akan datang, amat penting sebelum ia beroperasi kelak.
"Tanpa undang-undang tersebut, kita tidak boleh mengadakan stesen kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) co-location iaitu kita membenarkan imigresen Singapura duduk di Stesen Bukit Chagar dan imigresen Malaysia juga duduk di sebelah Woodlands North.
"Ini adalah satu kerjasama dua negara yang telah dicapai dan persefahaman amat penting untuk memastikan keberkesanan RTS ini," katanya.
Mengenai Pembangunan Bersepadu Bukit Chagar, Loke berkata pelaksanaan model seperti Central, Hong Kong yang menghubungkan semua bangunan sekitar dalam satu kawasan melalui laluan pejalan kaki perlu turut diintegrasikan dengan Johor Bahru (JB) Sentral.
"JB Sentral dengan Bukit Chagar jarak hampir 300 meter jadi perlu ada integrasi antara dua tempat ini untuk orang ramai mengambil bas dan tren," katanya.
Terdahulu, Loke menyaksikan pelancaran REHDA Institute Youth Initiative (RIYI) iaitu program pembangunan modal insan kebangsaan yang bertujuan meningkatkan kerjasama antara universiti dengan industri, selain memperkukuh bekalan tenaga kerja negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial