AM > BERITA

Ponggal Dirai Penuh Tradisi, Erat Hubungan Kekeluargaan

15/01/2026 01:38 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Pesta Ponggal yang diraikan masyarakat Tamil di seluruh negara hari ini berlangsung dalam suasana meriah dan penuh tradisi, dengan sambutan diadakan di kediaman masing-masing serta di kuil di beberapa negeri.

Di ibu negara, Pengerusi Kuil Sri Maha Mariamman Tan Sri R Nadarajah berkata sambutan bermula 10 pagi dengan upacara sembahyang sebelum diteruskan dengan aktiviti memasak Ponggal secara tradisional.

“Pesta Ponggal merupakan perayaan kesyukuran yang sangat penting bagi masyarakat Tamil kerana ia melambangkan penghargaan kepada Tuhan, alam semula jadi serta hasil tuaian dikurniakan. Sambutan ini juga menjadi platform untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan perpaduan dalam komuniti,” katanya kepada pemberita.

Ad Banner

Di NEGERI SEMBILAN, suri rumah Thilagah Shanmugam, 41, meraikan perayaan Ponggal bersama seluruh ahli keluarganya di rumah dalam suasana meriah dan penuh makna.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata persiapan menyambut perayaan tersebut telah dilakukan sejak malam semalam, dengan menghias rumah menggunakan pucuk daun kelapa, daun pisang, hiasan daun mangga serta beberapa batang pokok tebu yang diikat di ruang hadapan rumah.

Di PERLIS, Pengerusi Kuil Arulmigu Arumugaswamy Dhevasthanam Kangar Dr R Hari Ram berkata kira-kira 50 penganut Hindu hadir ke kuil berkenaan bagi menyertai upacara sembahyang yang berlangsung seawal 5 pagi, sebelum diteruskan dengan aktiviti memasak Ponggal.

Seorang pengunjung S Selvi, 42, berkata beliau tidak pernah terlepas menghadiri sambutan Ponggal setiap tahun kerana perayaan itu membawa makna kesyukuran, kebersamaan serta mengeratkan hubungan kekeluargaan dan komuniti.

Kemeriahan turut dirasai di PERAK apabila kira-kira 1,000 masyarakat India hadir sejak 8 pagi di Kuil Kallumalai Arulmigu Subramaniar, Gunung Cheroh yang berusia lebih 150 tahun bagi meraikan perayaan pesta menuai Ponggal.

Setiausaha Kehormat Ipoh Hindu Devasthana Paripalana Sabah V M Thiagarajan berkata penganjuran perayaan Ponggal di kuil itu merupakan antara yang terbesar di Perak dan disambut dengan penuh tradisi setiap tahun.

“Kita harapkan agar ia bukan sekadar perayaan, tetapi mesej tentang harapan dan kesinambungan budaya untuk anak cucu khususnya golongan muda tentang makna sebenar Ponggal yang meliputi lima elemen iaitu air, api, tanah dan langit,” katanya.

Di MELAKA, kira-kira 60,000 masyarakat Hindu meraikan sambutan Hari Ponggal termasuk lebih 60 keluarga di Kampung Chetti mengikut adat dan tradisi ditetapkan.

Pengerusi MIC Melaka Datuk VP Shanmugam berkata pada hari pertama sambutan hari ini, masyarakat Hindu akan bersembahyang di rumah masing-masing dan kuil berhampiran mengikut pilihan waktu ditetapkan.

“Hari ini ada tiga waktu sembahyang iaitu dua waktu pada sebelah pagi dan satu waktu pada sebelah petang. Di Kampung Chetti juga, terdapat sembilan kuil yang menjadi tumpuan masyarakat Hindu untuk bersembahyang sekali gus memeriahkan sambutan Hari Ponggal,” katanya.

Di PULAU PINANG, masyarakat Tamil menyambut Ponggal dengan meriah di kebanyakan kuil di negeri ini termasuk Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthapani dan Kuil Nattukotai Chettiar di Jalan Kebun Bunga serta Visvanather Visalatchi, Sivan Temple di Bayan Baru.

Menurut jawatankuasa Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthapani atau dikenali Hilltop Temple, nasi manis telah dimasak di tiga tempat berlainan di kuil tersebut termasuk di pekarangan kuil bawah dan atas bukit dalam sekitar 6.15 hingga 7.25 pagi hari ini.

Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang RSN Rayer berkata sambutan Ponggal yang dianjurkan pihaknya akan berlangsung esok dan dirasmikan Ketua Menteri Chow Kon Yeow di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ramakrishna, George Town.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Kuil Sri Maha Mariamman, Skudai di JOHOR mendapati 500 penganut Hindu menziarahi kuil yang berusia lebih 90 tahun itu bagi meraikan perayaan berkenaan yang bermula hari ini hingga 18 Jan.

Pasangan suami isteri K Genesan, 46, dan R Minachi, 46, menzahirkan keterujaan dapat mengikuti acara keagamaan di kuil itu dan berharap 2026 menjadi tahun yang membawa kesejahteraan dan keberkatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan