PUTRAJAYA, 15 Jan (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi komited dalam memastikan tindakan penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan visa lawatan sosial dilaksanakan dengan segera menerusi kerjasama rapat antara Kementerian Dalam Negeri serta agensi berkaitan.
Menteri berkenaan Steven Sim berkata beliau akan bekerjasama rapat dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan agensi berkaitan bagi memastikan tindakan susulan dilaksanakan dengan segera.
"Langkah itu penting bagi melindungi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta peniaga kecil tempatan selain memastikan ekosistem keusahawanan negara kekal teratur dan berdaya saing," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata Malaysia mengalu-alukan kehadiran pelancong dan pelabur ke negara ini namun undang-undang serta peraturan negara mesti dipatuhi oleh semua pihak tanpa pengecualian.
Kerajaan, katanya, akan memperketat tindakan penguatkuasaan termasuk memantau warga asing yang menyalahgunakan visa lawatan sosial untuk bekerja atau berniaga secara tidak sah susulan peningkatan aduan daripada peniaga tempatan.
Sim berkata beliau telah membangkitkan isu itu dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam susulan kebimbangan pelbagai pihak khususnya PMKS serta peniaga kecil yang terkesan dengan kegiatan tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial