AM > BERITA

PM Ucap Selamat Menyambut Ponggal, Seru Perpaduan Dan Keharmonian Kaum

14/01/2026 05:38 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyeru semua masyarakat berbilang kaum di Malaysia mengekalkan sikap saling memahami dan menghormati sebagai pengikat keharmonian serta perpaduan nasional.

Dalam ucapan Selamat Menyambut Perayaan Ponggal kepada masyarakat India, khususnya komuniti Tamil di Malaysia, beliau berkata walaupun rakyat berbeza pandangan, latar belakang atau pendirian, semangat kebersamaan ini mesti terus diperkasa dalam membina negara yang aman, makmur dan sejahtera.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata Ponggal bukan sahaja melambangkan kesyukuran atas limpahan hasil tuaian tetapi juga menandakan permulaan bulan Thai dalam kalendar Tamil.

Ad Banner

“Saya berharap sambutan Ponggal diraikan dengan kegembiraan, keharmonian dan lebih bermakna bersama keluarga serta insan tersayang.

“Perayaan ini turut mengingatkan kita tentang nilai kesyukuran, kebersamaan dan saling menghargai antara satu sama lain,” katanya.

Ponggal ialah perayaan kesyukuran masyarakat Tamil bagi menzahirkan penghargaan kepada Tuhan atas limpahan hasil pertanian.

Sambutan perayaan ini berlangsung selama empat hari bermula dengan Bhogi diikuti Thai Ponggal (persembahan nasi manis kepada Dewa Matahari), Mattu Ponggal (penghargaan kepada haiwan ternakan) dan Kaanum Ponggal.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan