AM > BERITA

Gangguan Bekalan Air Berpanjangan Jejas Lebih 10,000 Pengguna Di Labuan

14/01/2026 01:18 PM

LABUAN, 14 Jan (Bernama) -- Beberapa kampung dan kawasan kediaman di sini mengalami gangguan bekalan air sejak 9 Jan, yang telah menjejaskan lebih 10,000 pengguna. 

Gangguan itu menjejaskan sedikit persediaan ibu bapa yang mempunyai anak yang bersekolah menyaksikan ramai isi rumah terpaksa beratur untuk mendapatkan bekalan air daripada lori tangki yang disediakan.

Sesetengah penduduk terpaksa membeli air botol untuk kegunaan mandi, memasak dan minuman.

Ad Banner

Dalam kenyataan pada 8 Jan, Jabatan Air Labuan memaklumkan gangguan itu berpunca daripada pergerakan tanah di cerun Bukit Besar, yang menjejaskan paip salur masuk dan keluar.

Dalam kemas kini pada 10 Jan, jabatan itu melaporkan kerja-kerja pembaikan dihentikan sementara ekoran hujan berterusan dan tanah runtuh, dan akan disambung semula apabila keadaan mengizinkan.

Keadaan bertambah teruk apabila berlaku gangguan pada paip kedua di Pulau Buah, semalam.

Setakat 6.50 pagi hari ini, kerja-kerja pembaikan mencapai 65 peratus siap, dan Jabatan Air Labuan serta Perbadanan Labuan telah mengerahkan lori tangki air ke kawasan terjejas.

Jabatan itu akan memantau rapat situasi itu dan sebarang kemas kini akan dimaklumkan kemudian.

Justeru, sementara menunggu bekalan pulih sepenuhnya pengguna diminta menggunakan air dengan berhemat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan