| BERITA TERGEMPAR | Warga ATM terlibat aktiviti tidak bermoral, rosakkan imej ATM akan disingkir daripada perkhidmatan - Mohamed Khaled | |
PUTRAJAYA, 12 Jan (Bernama) -- Kehadiran ibu bapa semasa pengagihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) penting bagi memastikan mereka peka dengan prosesnya dan jumlah yang diterima adalah tepat, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan Datuk Ahmad Suhaimi Endut.
"Kita kalau boleh (hendak) melibatkan semua ibu bapa supaya mereka prihatin (dengan) apa yang berlaku di sekolah dan keperluan anak-anak (diambil) dikira.
"Jadi bantuan-bantuan ini kita tak nak nanti sampai pada anak-anak dan mereka belanja benda lain," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau hari pertama sesi persekolahan 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 18(1) di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya Nadimin Abdul Aziz, Pengetua SMK Putrajaya Presint 18(1) Dr Mazira Mohd Zain dan Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Aidi Sham Mohamed.
Ahmad Suhaimi juga berkata terdapat kes sebelum ini yang menyaksikan murid memberitahu ibu bapa jumlah yang diterima adalah lebih rendah daripada bantuan yang disalurkan.
"Setiap murid menerima RM150 tetapi ada yang beritahu ibu bapa mereka hanya terima RM100... kita tak nak perkara tersebut berlaku," katanya.
BAP yang disalurkan kepada 5.2 juta murid secara sekali bayar merupakan inisiatif kerajaan bagi mengurangkan beban perbelanjaan ibu bapa atau penjaga dalam menyediakan keperluan persekolahan.
Mengulas hari pertama sesi persekolahan, Ahmad Suhaimi berkata para pelajar dilihat hadir dengan penuh semangat dan ibu bapa memberi penekanan khusus terhadap kepentingan pendidikan anak mereka.
Beliau berkata guru turut memainkan peranan penting dalam memastikan pelajar hadir ke sekolah dengan rasa teruja untuk menimba ilmu.
Nadimin pula berkata dua program dijadual berlangsung di Putrajaya pada Khamis ini iaitu penyerahan rasmi bangunan Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(3) dan penyerahan BAP oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial