AM > BERITA

PM Anwar Ucap Selamat Kembali Ke Sekolah

12/01/2026 09:58 AM

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengucapkan selamat kembali ke sekolah kepada semua pelajar khususnya murid Tahun 1 sempena pembukaan sesi persekolahan baharu 2026.

Menerusi hantaran di laman Facebook, beliau turut mengingatkan ibu bapa untuk mengiringi perjalanan pendidikan anak masing-masing dengan doa dan teladan yang baik.

“Selamat kembali ke sekolah buat anak-anak, khususnya murid Tahun 1 yang memulakan langkah pertama ke alam persekolahan bersama cita-cita dan harapan.

Ad Banner

“Buat ibu bapa, iringlah perjalanan anak-anak dengan doa dan teladan yang baik. Semoga setiap ilmu dan nilai yang dipelajari membentuk mereka menjadi insan berakhlak, berilmu dan menyumbang kepada masa depan negara. Insya-Allah,” katanya.

Kalendar akademik bagi Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan kembali bermula pada bulan Januari tahun ini selepas berlaku peralihan sejak 2022 susulan pandemik COVID-19.

Sesi persekolahan bagi Kumpulan B iaitu di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bermula hari ini manakala bagi Kumpulan A iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu bermula semalam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan