AM > BERITA

Kerajaan MADANI Fokus Tangani Kos Sara Hidup, Permudah Urusan Perniagaan - Fahmi

11/01/2026 07:41 PM

BANGI, 11 Jan (Bernama) -- Usaha menangani kos sara hidup rakyat serta mempermudah urusan perniagaan, menjadi antara keutamaan Kerajaan MADANI sepanjang tahun ini, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata perkara itu menjadi antara fokus utama perbincangan dalam program Permukiman Kerajaan MADANI 2026, yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan Jemaah Menteri dan pimpinan kerajaan negeri.

“Keutamaan adalah untuk pastikan bukan hanya ekonomi negara terus berada pada landasan yang betul. 

Ad Banner

“Isu yang dihadapi oleh rakyat terutama kos sara hidup atau the ease of doing business (mudah untuk melakukan aktiviti perniagaan), ini menjadi satu keutamaan,” katanya pada sidang media selepas program permukiman yang bermula semalam sehingga petang tadi, di sini.

Turut hadir pada permukinan itu ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, serta Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Fahmi berkata kerajaan turut menekankan kepentingan komunikasi yang berkesan bagi memastikan hasil kestabilan yang dicapai sepanjang 38 bulan pentadbiran Kerajaan MADANI dimanfaatkan oleh rakyat. 

“Kita lihat pada hari ini, ringgit berada pada kedudukan yang sangat kuat. Kita tahu pelaburan meningkat. Pengangguran berada pada kadar paling rendah dalam tempoh 14 tahun,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan MADANI pimpinan Anwar, turut membuktikan negara berada pada landasan yang betul dan tepat melalui pengenalan pelbagai dasar yang memanfaatkan rakyat.

“Kita juga ada sentuh mengenai keperluan untuk pastikan banyak hasil, dasar yang memungkinkan ekonomi bertambah baik, yang akhirnya dapat diterjemah menjadi satu kebaikan dan dimanfaatkan serta dipulangkan kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata kehadiran ketua-ketua kerajaan negeri pada program Permukiman Kerajaan MADANI 2026 mencerminkan kesepaduan kerajaan Persekutuan dan negeri.

“Ini adalah satu signal yang amat penting,  membuktikan kesepaduan Kerajaan Perpaduan di seluruh negara dan juga Kerajaan MADANI di peringkat Persekutuan yang utuh dan akan terus melaksanakan tugas serta tanggungjawab ke depan,” katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri mahu hasil perbincangan permukiman itu diterjemahkan kepada pelaksanaan program pada tahun ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan