AM > BERITA

SWCorp Tingkat Penguatkuasaan Kes Pembuangan Sampah Di Kawasan Awam

10/01/2026 07:49 PM

JASIN, 10 Jan (Bernama) -- Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) sedang menambah baik penguatkuasaan undang-undang terhadap warga asing termasuk pelancong yang didapati melakukan kesalahan membuang sampah kecil di kawasan awam.

Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Khalid Mohamed berkata hal itu termasuk memperkukuh kerjasama strategik bersama Jabatan Imigresen Malaysia bagi memastikan tiada individu terlepas daripada tindakan undang-undang.

Beliau berkata maklumat individu yang ingkar termasuk mereka yang telah pulang ke negara asal akan disalurkan kepada pihak Imigresen untuk tindakan lanjut termasuk sekatan kemasukan atau tindakan sewajarnya pada masa hadapan, selaras peruntukan undang-undang sedia ada.

“Langkah itu bertujuan memastikan tindakan terhadap individu yang dikenakan Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) dapat diambil walaupun mereka telah meninggalkan negara ini.

“Setakat ini, sebanyak 261 NPK telah dikeluarkan di negeri-negeri yang menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) sejak pelaksanaannya bermula 12.01 tengah malam, 1 Jan lepas, dengan 186 kes melibatkan warga tempatan dan 75 warga asing,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Program Sambutan Hari Habitat Sedunia dan Hari Konservasi Hutan Simpan Paya Laut Edisi Eksekutif Melaka 2026 di Hutan Simpan Paya Laut, Jeti Nelayan Pantai Sebatu, Merlimau.

Menurut Khalid kertas siasatan disediakan bagi semua kes terbabit dan sebahagiannya dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya selain terdapat kes didaftarkan di mahkamah untuk tujuan perbicaraan.

Beliau berkata selain denda, mahkamah juga boleh mengenakan Perintah Khidmat Masyarakat sebagai hukuman tambahan bagi tempoh tidak melebihi enam bulan, melibatkan jumlah kerja tidak melebihi 12 jam dengan had maksimum empat jam sehari.

“Setakat pelaksanaan di Melaka, sebanyak 17 operasi penguatkuasaan telah dijalankan dengan 20 kes pembuangan sampah secara sukarela direkodkan membabitkan 14 warga tempatan dan enam warga asing,” katanya.

Sementara itu, Khalid berkata program hari ini mencerminkan komitmen SWCorp dalam memupuk kesedaran alam sekitar melibatkan kira-kira 100 peserta terdiri daripada warga agensi itu yang menanam 50 anak pokok bakau sebagai usaha pemuliharaan ekosistem pesisir pantai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan