AM > BERITA

Hanya 28.94 Peratus Sekolah Mempunyai CCTV Berfungsi, KPM Ambil Langkah Segera - Fadhlina

09/01/2026 03:31 PM

PUTRAJAYA, 9 Jan (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan langkah segera bagi menangani isu keselamatan di sekolah susulan dapatan audit yang mendedahkan hanya 28.94 peratus sekolah mempunyai sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang berfungsi sepenuhnya.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata dapatan itu hasil Audit Keselamatan Murid dan Asrama yang dilaksanakan oleh Jemaah Nazir pada tahun lepas melibatkan 850 sekolah di seluruh negara.

Beliau berkata dalam usaha meningkatkan kawalan keselamatan fizikal, sistem CCTV akan dipasang di lebih 300 sekolah pada tahun ini sebagai sebahagian daripada inisiatif segera (Quick Win) Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2026-2035.

“Keselamatan sekolah ialah soal keyakinan ibu bapa dan masyarakat daripada kami (institusi KPM).

“Jadi saya nak semua Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Negeri dan sekolah memastikan semua CCTV dalam keadaan berfungsi dan KPM ada penyelenggaraan untuk pastikan ia terus berfungsi,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat tahun baharu kepada warga KPM di sini hari ini.

Fadhlina berkata pihaknya turut mengalu-alukan hasrat mana-mana pihak untuk membantu melengkapkan sekolah dengan sistem CCTV.

“Semua inisiatif kami laksanakan, ada yang Persatuan Ibu Bapa Guru, ada kerjasama dengan swasta dan persatuan-persatuan komuniti. Jadi apa sahaja kerjasama saya ingat kami jangan tegas sangat di peringkat kementerian ini... Orang hendak tolong, kami buka jalan dan kami sokong,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata arahan terbaharu KPM untuk mewajibkan semua pelajar yang berpindah sekolah melampirkan laporan kesihatan termasuk tahap kesihatan mental serta rekod disiplin bertujuan memastikan sekolah bersedia untuk menyediakan sokongan yang diperlukan pelajar terlibat.

Beliau berkata ia adalah sebahagian daripada reformasi KPM untuk memastikan hak pendidikan bagi semua pelajar, tidak kira sama ada mereka mempunyai masalah disiplin dan isu kesihatan mental.

“Jadi stigma ataupun jaminan keselamatan itu, setakat ini kalau ada kebimbangan kami minta untuk ibu bapa tampil dan juga berikan saranan kepada kami... ia supaya kami dapat lakukan intervensi serta-merta kalau yang ada yang berasa tidak selesa dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, KPM mengumumkan semua pelajar yang berpindah sekolah diwajibkan melampirkan laporan kesihatan termasuk tahap kesihatan mental serta rekod disiplin mulai sesi persekolahan tahun ini.

Ketua Pengarah Pendidikan Mohd Azam Ahmad berkata ia antara garis panduan baharu keselamatan sekolah bagi menangani isu buli, gangguan seksual dan keselamatan fizikal murid.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan