AM > BERITA

Titi Gantung Lata Rek: ICU JPM Akan Bincang Dengan Agensi Teknikal Esok

07/01/2026 06:09 PM

KUALA KRAI, 7 Jan (Bernama) -- Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) akan mengadakan mesyuarat bersama agensi teknikal, untuk berbincang mengenai jenis jambatan yang sesuai dibina bagi menggantikan titi gantung yang runtuh di Kampung Chatel Damai, Lata Rek, di sini, esok.

Pengarah ICU JPM Kelantan Jasri Kasim berkata perbincangan lebih lanjut itu, akan melibatkan agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai.

“Kita sedang meneliti dan menilai kaedah yang paling sesuai untuk pembaikian atau pembinaan baharu jambatan tersebut berdasarkan lokasi, keadaan bentuk muka bumi serta tarikh jangka siap bagi memenuhi keperluan penduduk yang perlu berulang alik,” katanya kepada Bernama hari ini.

Terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah (Penyelarasan Projek Khas) ICU JPM Ross Rafizal Rosli meluangkan masa hampir satu jam, meninjau keadaan titi gantung di Chatel Damai, Lata Rek di sini yang runtuh pada 1 Jan, bersama beberapa agensi kerajaan, negeri dan penduduk kampung.

Pada Jumaat, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan peruntukan disediakan bagi menggantikan segera titi gantung itu yang runtuh sehingga menyebabkan orang awam cedera serta menjejaskan akses harian penduduk sekitar.

Susulan pengumuman itu, Kerajaan Negeri Kelantan merakamkan penghargaan kepada Anwar dan telah mengarahkan Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai, untuk menyelaras segala urusan berkaitan bersama ICU JPM serta agensi terlibat bagi memastikan kerja itu disegerakan dan dilaksanakan secara teratur.

Khamis lepas, tular di media sosial suasana meriah majlis perkahwinan bertukar cemas apabila titi gantung dilalui tetamu tiba-tiba runtuh, sehingga menyebabkan beberapa orang terjatuh ke dalam Sungai Chatel Damai di Lata Rek

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan