AM > BERITA

UoC Tubuh "Tan Sri Dr Lim Wee Chai Lifestyle Medicine Visiting Professorship"

07/01/2026 06:00 PM

CYBERJAYA, 7 Jan (Bernama) --  Universiti Cyberjaya (UoC) hari ini merasmikan penubuhan “Tan Sri Dr Lim Wee Chai Visiting Professorship in Lifestyle Medicine”, yang disokong tabung pembiayaan berjumlah RM2 juta secara kekal, bertujuan memajukan penjagaan kesihatan berasaskan pencegahan dan gaya hidup di Malaysia.

Tabung yang dinamakan sempena Lim yang juga pengasas dan pengerusi eksekutif Top Glove Corporation Bhd itu, bertujuan memajukan perubatan gaya hidup melalui pengajaran, penyelidikan dan penglibatan komuniti di UoC.

Pembiayaan tersebut terdiri daripada sumbangan RM1 juta daripada Lim, yang dipadankan RM1 juta daripada UoC, mewujudkan dana kekal untuk menyokong impak akademik, penyelidikan dan sosial jangka panjang dalam bidang perubatan gaya hidup.

Naib Canselor dan Ketua Eksekutif UoC Profesor Dr David Whitford berkata inisiatif yang baharu ditubuhkan ini, dijangka mengukuhkan peranan universiti dalam mempromosi penjagaan kesihatan pencegahan dan perubahan tingkah laku.

“Perkara ini akan melakukan dua perkara, pertamanya memperkukuh pengajaran di universiti dalam bidang ini (perubatan gaya hidup) dan keduanya memperkukuh penyelidikan dalam universiti mengenai bagaimana kita membantu orang untuk mengubah tingkah laku mereka dengan lebih baik,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran di sini hari ini.

Beliau berkata dana itu akan membolehkan universiti membawa kepakaran antarabangsa bagi melengkapkan kekuatan akademik sedia ada.

“Inisiatif ini akan menyokong kerjasama pelbagai disiplin merentasi program perubatan, kejururawatan, farmasi dan kesihatan bersekutu, sambil mengukuhkan kerjasama universiti bersama dengan Persatuan Perubatan Gaya Hidup Malaysia,” katanya.

Whitford berkata profesor pelawat ini akan bekerjasama dengan ahli akademik dan pelajar UoC, menyampaikan kuliah dan ceramah utama, menyokong penyelidikan bersama, menyumbang kepada pembangunan kurikulum, serta mengambil bahagian dalam program jangkauan komuniti untuk memperkukuh pemahaman tentang bagaimana orang boleh dibantu untuk menjadi lebih sihat dengan mengubah gaya hidup mereka, bukannya hanya dengan preskripsi ubat.

Perubatan gaya hidup menggunakan perubahan gaya hidup yang terbukti, seperti pemakanan sihat, senaman berkala, tidur yang baik, kawalan stres, mengelak bahan berbahaya dan hubungan sosial yang kukuh untuk mencegah, merawat dan kadang-kadang membalikkan penyakit jangka panjang seperti diabetes.

Sementara itu, Pro-Canselor UoC Tan Sri Dr R Palan berkata tabung tersebut akan diurus untuk menyokong universiti dan pelajarnya, dengan memastikan tiada pelajar yang terhalang daripada menimba ilmu disebabkan kekangan kewangan.

“Antara perkara utama ialah kami percaya kepada pendidikan secara holistik. Seperti yang sering dikatakan Tan Sri (Lim), tidak ada gunanya bercakap mengenai sesuatu jika tidak mengamalkannya, jadi matlamat kami ialah membantu pelajar mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya, sambil menambah bahawa universiti akan terus mempromosi tabiat gaya hidup baik untuk membantu menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan di Malaysia.

Tabung itu akan diletakkan dalam akaun penjanaan pendapatan oleh universiti, dengan pulangan digunakan untuk menyokong professorship pelawat dan aktiviti berkaitan secara berterusan.

Sebuah Jawatankuasa Pengawasan Endowmen khas, yang terdiri daripada pemimpin UoC dan wakil Lim, akan membimbing penggunaan tabung tersebut selaras dengan objektif bersama program ini serta memastikan tadbir urus yang kukuh dan hasil yang berterusan.

Lim berkata penyakit berkaitan gaya hidup semakin membebankan masyarakat dan pelaburan dalam pendidikan, penyelidikan, serta kepimpinan dalam perubatan gaya hidup membantu membina komuniti lebih sihat dan mengurangkan kos penjagaan kesihatan jangka panjang.

“Perubatan gaya hidup dan pencegahan menunjukkan bagaimana perubahan konsisten dan praktikal dalam tabiat harian boleh meningkatkan kesihatan secara signifikan.

“Saya berharap Visiting Professorship ini memberi inspirasi kepada pelajar, profesional kesihatan dan orang awam untuk mengambil tanggungjawab peribadi terhadap kesihatan mereka serta menjadi penyumbang positif kepada masyarakat,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan