KANGAR, 7 Jan (Bernama) -- Proses kelulusan berkaitan pelaburan di Perlis akan disusun semula bagi memendekkan tempoh menunggu yang sebelum ini mengambil masa antara dua hingga tiga bulan kepada tempoh lebih singkat.
Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah berkata kerajaan negeri mahu keputusan dibuat dengan lebih cepat sama ada memberikan kelulusan atau memaklumkan ketidaklayakan pelabur.
“Pemilihan pelabur akan dibuat secara teliti, dengan keutamaan diberikan kepada syarikat yang mempunyai kedudukan kewangan kukuh dan perancangan strategik yang jelas,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu kepada penjawat awam Perlis di Dewan 2020, di sini hari ini.
Abu Bakar menegaskan kerajaan negeri akan terus mengamalkan dasar mesra pelabur dan mesra perniagaan, dengan menekankan bahawa pelabur dan peniaga merupakan rakan strategik dalam pembangunan negeri.
Beliau turut berkata perubahan sikap dan pendekatan seluruh jentera kerajaan negeri yang lebih progresif, profesional, dan berorientasikan penyelesaian diperlukan bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi Perlis.
“Kita mesti bangkit, bingkas dan bertindak. Pembangunan Perlis memerlukan jentera kerja yang cekap, pantas dan berintegriti. Disiplin penjawat awam perlu diperkukuh termasuk menghentikan amalan keluar minum di luar premis pejabat pada waktu bekerja," katanya.
Dalam pada itu, Abu Bakar memaklumkan kerajaan negeri itu menerima peruntukan RM657.58 juta bagi tahun ini di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial