AM > BERITA

JPNIN Kelantan Terima 2,149 Kit Permulaan Untuk Tabika Dan Taska Perpaduan

07/01/2026 12:07 PM

Oleh Noornasrin Salsabila Othman

KOTA BHARU, 7 Jan (Bernama) -- Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN)  Kelantan menerima 2,453 set kit permulaan bagi kegunaan murid Tabika Perpaduan dan Taska Perpaduan sempena sesi persekolahan 2026.

Pengarah JPNIN Kelantan Zarina Zakaria berkata daripada jumlah itu, 2,345 set diperuntukkan kepada Tabika Perpaduan manakala 108 set lagi disalurkan kepada Taska Perpaduan di seluruh negeri itu.

“Bagi Tabika Perpaduan, kit permulaan yang diterima merangkumi uniform dan beg sekolah yang akan diagihkan secara percuma kepada semua murid terlibat.

“Manakala bagi Taska Perpaduan pula, kit tersebut merangkumi uniform, beg sekolah, tuala serta selimut sebagai persediaan dan sokongan kepada sesi pembelajaran kanak-kanak,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata pengagihan Starter Kit ini bertujuan memastikan kebajikan serta keperluan asas kanak-kanak Tabika dan Taska Perpaduan dapat dipenuhi sebelum sesi persekolahan bermula pada 11 Jan ini, sekali gus mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan selesa.

Mengulas lanjut, Zarina merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kementerian Perpaduan Negara atas keprihatinan dan sokongan berterusan dalam memperkasa pendidikan awal kanak-kanak melalui penyediaan kemudahan tersebut.

“Usaha ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan dan pembangunan kanak-kanak sentiasa menjadi keutamaan, khususnya dalam memupuk nilai perpaduan sejak peringkat awal,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan